Negara perlu wujudkan model perniagaan baharu - Utusan Malaysia

Negara perlu wujudkan model perniagaan baharu

kwsp
Pandemik Covid-19 antara punca merosotnya simpanan ahli kumpulan wang itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan model perniagaan baharu bagi mengelakkan rakyat daripada terus terjerumus dalam perangkap pendapatan pertengahan dan ketidaksamarataan pendapatan.

Perkara ini boleh dilihat daripada isu hab perkilangan yang lebih kaya dan negeri-negeri yang bergantung kepada pertanian dan sumber asli lain seperti minyak sawit dan perlombongan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, negara sememangnya bergelut untuk meningkatkan rantaian nilai ekonomi dan terdapat kebimbangan negara tidak dapat mengekalkan kadar pertumbuhan yang tinggi untuk mencapai status berpendapatan tinggi. 

Ujarnya, keadaan itu diburukkan lagi dengan penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu dan peningkatan persaingan untuk mendapat pelaburan asing (FDI) dengan negara-negara ASEAN lain antaranya Vietnam, Indonesia dan Thailand.

“Bantuan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbaharu yang sepatutnya untuk hari tua, menunjukkan rakyat Malaysia kekurangan sokongan sosial dari segi kewangan, simpanan dan menghadapi hutang isi rumah yang tinggi.

“Sekali lagi KWSP digunakan sebagai penyelesaian bagi menampung masalah ini dan ia bukan sesuatu yang baik di masa hadapan.

“Untuk jangka masa panjang, model perniagaan negara perlu diperbetulkan, dan terlalu banyak kekurangan serta cabaran yang memerlukan komitmen dari segi politik, ekonomi dan sosial perlu dilaksanakan di seluruh lapisan masyarakat keluarga Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, pihak kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas simpanan KWSP berjumlah RM10,000.

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, pengeluaran KWSP buat kali keempat sejak pandemik melanda adalah satu keputusan populis namun mèmpunyai kesan jangka panjang kepada negara, serta jurang kekayaan masa hadapan antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Jelasnya, statistik menunjukkan golongan bumiputera yang mempunyai nilai tabungan sedikit sering sering melakukan keluaran one-off dan ini akan meruncingkan keadaan dalam menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

“Skim gaji semasa juga amat menyedihkan. Pembuat polisi, dibayangi pihak majikan, sering menolak untuk meningkatkan kadar gaji, khasnya gaji pekerja bawahan dan gaji minimum.

“Kadar gaji kita sudah agak lama tidak diberi peningkatan sewajarnya, boleh dikatakan agak statik untuk 25 tahun kebelakangan ini sedangkan dalam tempoh ini, peningkatan harga aset seperti rumah, kenderaan dan sebagainya sudah naik berlipat kali ganda.

“Justeru, kerajaan harus merangka pelan pemulihan khas, harus berani dan mempunyai political will yang kuat untuk melakukan tindakan jangka masa panjang dan bukannya tindakan populis seperti pengeluaran KWSP,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya