PETALING JAYA: MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) melancarkan sebuah inisiatif di bawah program mendekati komunitinya yang dikenali sebagai #DIY4Sungai bagi memastikan kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sepanjang sungai dan jalan air dibersihkan sebagai persiapan menerima kunjungan pelancong.
Fokus MR D.I.Y kali ini adalah hab pelancongan Sungai Melaka yang terletak di tengah-tengah bandar raya bersejarah Melaka.
Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y., Datuk Azlam Shah Alias berkata, sebagai jenama kelahiran Malaysia, MR D.I.Y. ingin memberi sokongan terhadap inisiatif-inisiatif yang bertujuan untuk mengekalkan, melindungi, serta memulihkan lokasi-lokasi pelancongan yang menarik dan indah di Malaysia.
“Pelancongan adalah industri penting negara dan memandangkan rakyat Malaysia boleh mengembara semula apabila sempadan mula dibuka, kami ingin menyokong usaha-usaha untuk memulihkan kembali industri pelancongan negara kita.
“Ini adalah satu cara kami membawa nilai kepada negara dan rakyat Malaysia. Kami telah menjalankan beberapa inisiatif seperti ini, dan yang terkini sebelum ini adalah bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), di mana kami membersihkan Sg. Kedondong dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas kemudahan di kawasan rekreasi tersebut.
“Justeru, kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama seperti ini pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Dalam aktiviti sepanjang dua jam yang melibatkan 40 sukarelawan, pasukan MR D.I.Y. mengetuai usaha pembersihan dan pemulihan kecantikan semula jadi kawasan hadapan sungai.
Para sukarelawan terlibat terdiri daripada kakitangan MR D.I.Y. serta Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka. Lebih 1,000 kg sampah telah dikutip dan dilupuskan dengan cara yang bertanggungjawab.
#DIY4Sungai adalah salah satu inisiatif yang dilancarkan oleh MR D.I.Y. sebagai sebahagian daripada usaha kelestariannya.
Antara inisiatif lain termasuklah DIY Made Simple, sebuah pertandingan yang direka khas untuk mempromosikan budaya buat sendiri dalam kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia dan #DIY4UM, sebuah program dengan kerjasama Universiti Malaya untuk membantu lebih 12,000 pelajar membuat persiapan untuk kembali ke kampus selepas pandemik Covid-19. – UTUSAN