Masalah kewangan Sapura Energy beri kesan minimum - Utusan Malaysia

Masalah kewangan Sapura Energy beri kesan minimum

SAPURA Energy mencatatkan kerugian lebih kecil tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) memberi jaminan  kepada semua pemegang unitnya bahawa situasi di Sapura Energy Berhad (SEB) mempunyai kesan minimum ke atas portfolionya dan pada harga pasaran semasa, pendedahan PNB dalam SEB adalah kurang daripada 1.0 peratus daripada aset di bawah pengurusannya (AUM). 

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan permohonan SEB dan 22 anak syarikat milik penuhnya untuk mendapatkan Perintah di bawah Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat 2016.

Perintah ini merupakan kebenaran untuk berunding dengan pemiutang mengenai cadangan skim pengaturan dan Perintah Penyekatan untuk menangguhkan sebarang prosiding undang-undang terhadapnya.

PNB difahamkan, SEB telah mengalami masalah kewangan akibat ketidaktentuan dalam industri minyak dan gas serta kesan daripada pandemik Covid-19. 

“Keadaan itu telah menjejaskan prestasi kewangan syarikat tersebut, yang menyebabkan kecairan ketat yang berpanjangan dan pelbagai tindakan undang-undang oleh vendor dan pembekal kerana tunggakan pembayaran hutang,” menurut kenyataan itu.

PNB turut dimaklumkan bahawa perintah mahkamah tersebut akan membolehkan SEB menyusun semula struktur modal dan meletakkannya pada kedudukan yang mampan.

“PNB sentiasa berpegang teguh kepada komitmennya untuk melindungi dan bertindak demi kepentingan terbaik para pemegang unit,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Sapura Energy berkata, perintah di bawah Seksyen 366 itu akan membolehkannya dan anak syarikat mengadakan mesyuarat dengan pemiutangnya untuk mempertimbang dan meluluskan cadangan skim pengaturan dan kompromi sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula hutangnya.

Kumpulan minyak dan gas itu menambah, pihaknya telah diberikan perintah sekatan di bawah Seksyen 368 berkuat kuasa selama tiga bulan mulai 10 Mac untuk menghalang dan menggantung prosiding undang-undang terhadapnya.

“Sapura Energy masih mengkaji kesan Covid-19 terhadap operasinya, yang mengakibatkan kos tambahan melambung tinggi dan kelewatan dalam pelaksanaan projek. Usaha pemulihannya juga terhalang oleh kebimbangan kecairan.

“Kami mengakui beberapa tahun kebelakangan ini merupakan tempoh yang sukar bagi kami semua, dan latihan ini pada mulanya mungkin menimbulkan lebih banyak ketidakpastian untuk pelanggan dan pemiutang kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN