Langkawi Permata Kedah kembali bersinar - Utusan Malaysia

Langkawi Permata Kedah kembali bersinar

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini diunjurkan berkembang kepada 5.5 peratus, berikutan manfaat daripada peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN pembukaan sempadan negara bermula pada 1 April oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, bakal memeriahkan kembali industri pelancongan di pulau peranginan Langkawi yang suram selepas negara diancam pandemik Covid-19 sejak 2020 lalu.

Pembukaan pintu sempadan negara akan memberi peluang kepada pelancong asing berkunjung ke destinasi menarik di negara ini khususnya di Pulau Permata Kedah itu yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Ia secara tidak langsung dapat memulihkan semula ekonomi penduduk terutama pemain industri pelancongan di pulau legenda itu yang teruk terkesan dalam tempoh dua tahun ini.

Kerana itu, perkhabaran pembukaan sempadan negara menggembirakan para pemain industri pelancongan di pulau percutian itu, malah mereka cukup teruja dan tidak sabar menyambut kunjungan lebih ramai pelancong dari luar negara.

Dalam tempoh dua tahun itu, kira-kira 90 peratus penduduk di Langkawi atau lebih kurang 106,200 orang daripada 118,000 penduduk di pulau itu bergantung sepenuhnya kepada industri pelancongan, hilang mata pencarian.

Kebanyakan penduduk terlibat merupakan dalam kalangan pengusaha produk pelancongan, pengusaha hotel, ejen pelancongan, pemandu pelancong dan pengusaha kedai bebas cukai.

Dalam masa sama, pemain industri pelancongan di pulau ini juga bersedia sepenuhnya untuk menyambut pelancong asing memandangkan kerajaan telah melaksanakan projek rintis Gelembung Pelancongan Antarangsa Langkawi (LITB) selama tiga bulan bermula pada 15 November 2021.

Selepas itu, pada 17 Februari lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengumumkan pelaksanaan LITB dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka.

Pembukaan pintu sempadan negara nanti dijangka dapat menarik kunjungan lebih ramai pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand dan Asia Barat ke Langkawi.

Pelancong dari Singapura dan Thailand tidak akan melepaskan peluang bercuti ke Pulau Mahsuri untuk melakukan aktiviti ekopelancongan dan pelancongan sukan. 

Sementara itu, ramai pelancong dari Indonesia pula tertarik dengan pelancongan kesihatan di pulau tersebut.

Berdasarkan kepada perkembangan itu, Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) menjangka seramai 2.5 juta pelancong domestik dan luar negara dijangka mengunjungi pulau itu pada tahun ini.

Hasil daripada jumlah kehadiran pelancong tersebut, Langkawi akan dapat meraih pendapatan sebanyak RM900 juta dalam tempoh tersebut.

Kehadiran pelancongan yang meningkatkan itu juga akan berlaku penambahan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL). Pada masa sekarang, jumlah penerbangan di LTAL adalah sebanyak 30 hingga 40 penerbangan sehari.

Selain itu, jumlah perjalanan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi juga bakal ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan penumpang, namun terdapat kekangan perairan cetak di perairan Kuala Perlis dan Kuala Kedah ketika air laut surat.

Jumlah perjalanan feri dari dua destinasi itu ke Langkawi pula antara lima hingga 10 perjalanan setiap hari.

Untuk rekod, pada 2020, industri pelancongan di negara ini termasuk di Langkawi mula terjejas berikutan penularan pandemik Covid-9 di seluruh dunia.

Pada tahun tersebut, jumlah pelancongan yang dicatatkan sekitar 430,000 orang dengan pendapatan kira-kira RM500 juta berbanding 2019 merekod kehadiran pelancong seramai 3.9 juta orang.

Sementara itu, jumlah pelancong yang tiba di Langkawi pada 2021 pula seramai 720,000 dengan jumlah pendapatan sebanyak RM750 juta.

Peningkatan jumlah pelancong pada tahun lalu berbanding 2020 adalah berikutan kerajaan melaksanakan gelembung pelancongan Langkawi bermula 16 September 2021.

Ismail Sabri ketika mengumumkan dasar baharu itu menegaskan, keputusan membuka pintu sempadan berdasarkan tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta Covid-19, membanding keperluan pembukaan pintu sempadan dan keselesaan kepada pengembara.

Menurut beliau, dengan pembukaan sempadan negara itu, Malaysia kini terbuka untuk menerima semua pelancong dan pengembara yang mempunyai dokumen lengkap.

Bagaimanapun beliau berkata, beberapa prosedur masih wajib dipatuhi ketika pelancong memasuki Malaysia berikutan kebimbangan mengenai penularan varian Omicron. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya