Kos projek binaan meningkat? - Utusan Malaysia

Kos projek binaan meningkat?

HARGA semua bahan binaan meningkat berbanding tahun lalu, dengan bar keluli meningkat 20 peratus dengan harga purata bar keluli sebanyak RM3,910 setiap tan metrik berbanding RM3,258 per tan metrik pada Mei 2021. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan harga logam dunia akan menjejaskan pengoptimuman kos para pemaju tempatan terhadap projek pembangunan mereka kerana struktur bangunan kebanyakannya diperbuat daripada konkrit bertetulang dan bar keluli.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Sufian Abdullah berkata, sekiranya kos bahan binaan secara amnya masih tidak stabil, pemaju akan berdepan situasi sebut harga yang lebih tinggi daripada tender di masa depan kerana mereka mungkin perlu menambah kos untuk menampung turun naik harga utama.

“Mengikut pengalaman kami, kos bahan binaan telah menjejaskan nilai kontrak kami, malah ada yang perlu menghantar semula tender mereka untuk diubah.

“Bagaimanapun, untuk jangka pendek, kami tidak menjangkakan harga rumah akan meningkat kerana pembeli rumah sensitif terhadap sebarang kenaikan harga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, harga logam perindustrian meningkat, dengan harga nikel melonjak lebih 10 peratus berikutan konflik yang semakin memuncak di Ukraine dan sekatan ke atas Rusia membawa kepada kebimbangan gangguan bekalan.

Nikel di London Metal Exchange melonjak 17 peratus kepada AS$33,820 (RM141,316.87) satu tan selepas mencapai paras tertinggi sejak Mac 2008 pada AS$34,120 (RM142,570.42).

Sufian memaklumkan, pihaknya mengambil berat tentang perkara tersebut dan akan mengurangkan sebarang kenaikan harga melalui perolehan strategik dan proses perbelanjaan pintar untuk memastikan ia tidak akan menjejaskan harga akhir untuk bakal pembeli rumah.

“Namun, pemaju hartanah perlu meneroka jalan lain untuk mencapai pengoptimuman kos selanjutnya bagi mengimbangi kos tambahan itu, seterusnya memberikan rumah berkualiti untuk pembeli mereka,” ujarnya.

Beliau berpendapat, harga logam dijangka mengambil masa yang lama untuk kembali stabil walaupun setelah krisis antara Rusia dan Ukraine sudah reda.  

“Antara faktor peningkatan harga itu adalah krisis berterusan antara Rusia dan Ukraine kerana Rusia adalah antara pengeluar keluli dan aluminium terkemuka dunia.

“Walaupun kami tidak berurusan dengan Rusia secara langsung, sekatan kewangan dan perdagangan di seluruh dunia yang berterusan terhadap mereka akan menyebabkan peningkatan kos kerana syarikat perlu mencari penyelesaian alternatif untuk logam.

“Jadi, mungkin terdapat kelewatan dalam mewujudkan sumber baharu, pembayaran dan penghantaran. Kami jangka ia akan mengambil masa berbulan-bulan selepas krisis berakhir sebelum harga logam akan kembali stabil,” katanya.

Tambah beliau, antara faktor lain yang mendorong kenaikan harga itu adalah bekalan dan permintaan untuk logam selain kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada kos logistik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya