BERMULA hanya sebagai entiti perniagaan kecil legasi peninggalan keluarga, Hazilah Abd. Rahman sudah pun merancang menawan pasaran dunia dalam beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun, beliau ketika ditemui mengakui, pelbagai cabaran perlu ditempuhinya setelah mewarisi bisnes itu sejak 2002 dengan bermodalkan hanya RM200,000 pada masa tersebut.
“Alhamdulillah, produk Terang Bulan Food Industries (M) Sdn. Bhd. baru menembusi China pada 18 Februari lalu dengan fokus sekitar Shanghai terlebih dahulu,” jelasnya penuh syukur.
Sebagai Pengarah Urusan, kejayaan ini amat bermakna walaupun sayu pencapaian itu tidak disaksikan bapanya, Allahyarham Abd. Rahman Hussain yang merintis syarikat pada 1976.
Uniknya, majlis pelepasan penghantaran awal satu kontena itu disempurnakan oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Mohd. Azraie Ramli.
Ia susulan kerjasama antara syarikatnya dengan agensi berkenaan yang banyak membantu memperluaskan pasaran produk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Inisiatif FAMA yang diselaraskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, turut memberi ruang kepada pengilang berpotensi bagi menyertai siri pameran perdagangan di luar negara.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan terutama agensi tersebut yang menolong PKS untuk meneroka peluang luas pasaran di seluruh dunia selain domestik,” kata Hazilah.
Meskipun masih lagi dianggap baharu, kerjasama dengan pihak FAMA pernah dijalin sebelum ini apabila agensi itu membantu mengeksport produknya ke pasaran Singapura pada 2017.
Ketika itu katanya, pelbagai produk asas tani keluaran pelbagai usahawan PKS bumiputera Pulau Pinang dipromosikan oleh agensi tersebut dengan dijenamakan sebagai Seri Pinang.
Sehubungan itu, beliau dalam nada optimis sudah pun mengunjurkan prospek sasaran akan mampu menjual produknya pada setiap bulan antara tiga sehingga lima kontena ke China.
Perancangan jangka panjang itu ujarnya, bukan mustahil kerana jenama Guarana Cappuccino dihasilkannya memang unik dengan 100 peratus organik dan banyak manfaat kepada pengguna.
Justeru, beliau berhasrat menambah jentera bagi memudahkan pengeluaran di kilangnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang ketika ini disewa daripada SME Bank Malaysia Berhad.
Menariknya jelas beliau, walaupun pada masa ini cuma dengan ada lima pekerja, syarikat bertaraf bumiputera sepenuhnya itu mampu mengeluarkan produk sehingga enam tan sebulan.
“Jumlah ini sebenarnya masih kecil kerana permintaan dari rangkaian pasar raya besar AEON BiG dan kedai Eco RM2.10 memang tinggi selain perlu bagi kekal momentum,” tambahnya.
Hazilah yang mendapat bekalan kopi gred tinggi dari Vietnam dan India, merancang produk minuman segera syarikatnya memasuki kedai runcit dan pasar mini seluruh negara.
Pada masa sama, beliau sudah bersedia ‘menawan’ banyak negara luar antaranya India dan Nigeria selain ‘mengintai’ pasaran baharu di Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah.
Menyentuh visi masa depan, beliau tidak menolak mempelbagaikan produk bagi memenuhi permintaan pengguna yang rencam tetapi terus mengekalkan status produk halalan toyyiban.