PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat konsep pegangan tunggal (SWN) 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) akan memudahkan strategi pembinaan infrastruktur dan penawaran liputan 5G kepada rakyat negara ini.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, itu kerana tidak akan berlaku sebarang pertindihan infrastruktur dan penggunaan sumber yang tidak cekap.
“Namun, syarikat tersebut harus mempunyai pemilikan oleh semua pemegang taruhnya terutamanya syarikat telekomunikasi (telco) yang terlibat untuk memastikan tadbir urus yang lebih baik dan pengurusan yang lebih teratur.
“Pelaksanaan konsep tersebut juga akan dapat dimanfaatkan oleh pelanggan kerana penglibatan syarikat telco sebagai pemegang saham akan memastikan penawaran 5G mengambil kira kehendak pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Razman menegaskan, konsep pegangan tunggal itu akan menimbulkan masalah sekiranya persefahaman dalam kalangan syarikat komunikasi tidak dapat dicapai.
“Masalah akan terjadi sekiranya persefahaman dalam satu syarikat yang sama gagal dicapai atau terdapat syarikat komunikasi yang tidak mahu menjadi pemegang saham kepada syarikat tunggal itu kerana tidak bersetuju dengan strategi ini,” ujarnya.
Baru-baru ini, kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan konsep SWN 5G oleh DNB dan menolak cadangan dwi-rangkaian 5G oleh syarikat telekomunikasi (telco).
Bagi meneruskan rancangan itu, kerajaan akan memberikan 70 peratus pegangan saham DNB kepada telco yang bersedia untuk menandatangani perjanjian borong 5G.
Dengan ini, pegangan kerajaan di dalam DNB akan berkurangan daripada 100 peratus kepada 30 peratus sahaja.
Bagaimanapun, pemilikan dan pembahagian pegangan akan dibincangkan antara DNB dan telco. Ia dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi. – UTUSAN