InvestKL sasar bawa pelaburan RM2 bilion tahun ini - Utusan Malaysia

InvestKL sasar bawa pelaburan RM2 bilion tahun ini

Muhammad Azmi Zulkifli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: InvestKL menyasarkan untuk menarik 10 firma multinasional (MNC) dan syarikat-syarikat berimpak tinggi untuk membawa pelaburan bernilai RM2 bilion ke Malaysia terutamanya di Greater Kuala Lumpur (Greater KL), tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Azmi Zulkifli berkata, pihaknya menjangkakan penglibatan daripada syarikat-syarikat yang terlibat dalam teknologi digital, perkhidmatan global dan tawaran inovatif.

“Tahun lalu, InvestKL telah memperoleh pelaburan sebanyak RM2.46 bilion menerusi 13 pusat perkhidmatan global selain mewujudkan 2,281 pekerjaan eksekutif serantau, menjadikannya sebagai tahun terbaik dalam dekad sebelum ini.

“Daripada 13 syarikat yang ditarik pada 2021, sebanyak 60 peratus datang dari Amerika Syarikat, United Kingdom serta Eropah, manakala baki 40 peratus pelabur dari Asia,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan prestasi tahunan InvestKL, di sini semalam.

Menurut Muhammad Azmi, sejak penubuhannya pada 2011, InvestKL telah berjaya memperoleh 116 syarikat berimpak tinggi dalam pelbagai industri, dengan pelaburan sebanyak RM18. 3 bilion serta mewujudkan 16,392 pekerjaan eksekutif serantau.

Jelasnya, InvestKL juga menyasarkan sejumlah RM35 bilion pelaburan kumulatif di Greater KL menjelang 2030.

“Sasaran pelaburan terkumpul diluluskan sejak 2011 itu mampu dicapai bersandarkan kepada rangkaian yang kekal kukuh meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global, kenaikan harga tenaga dan krisis geopolitik.

“Rangkaian pelaburan ke Malaysia kekal kukuh dan kami bersedia untuk memajukan agenda mampan Malaysia dengan menyasarkan pelaburan khusus dan peringkat tinggi terutama dalam bidang teknologi digital, perkhidmatan global serta penawaran inovatif,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi cemerlang InvestKL adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem perniagaan Malaysia dan Greater KL sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti perniagaan pertumbuhan serta berimpak tinggi, menjadikannya lokasi yang sangat baik untuk menubuhkan pejabat dan hab wilayah.

“Ini akan membuka laluan kepada hubungan perdagangan yang lebih baik memandangkan prestasi perdagangan tertinggi tahun lalu melepasi RM2 trilion, meletakkan Malaysia pada trajektori pertumbuhan.

“Saya yakin kita akan dapat mencapai tahap yang lebih tinggi dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggandakan usaha untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya