Harga global komoditi bantu percepat PPN - Utusan Malaysia

Harga global komoditi bantu percepat PPN

HASIL eksport minyak sawit mentah (MSM) bagi 2022 yang dijangka meningkat 11.8 peratus kepada RM72.25 bilion daripada RM64.62 bilion tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin harga global komoditi yang menggalakkan dan pertumbuhan kukuh dalam sektor itu akan membantu mempercepatkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Ini termasuk hasil eksport minyak sawit mentah (MSM) bagi 2022 yang dijangka meningkat 11.8 peratus kepada RM72.25 bilion daripada RM64.62 bilion tahun lalu, serta eksport kayu dan produk kayu dijangka berjumlah RM24 bilion atau meningkat 5.52 peratus berbanding 2021.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pemilik ladang, daripada konglomerat tersenarai kepada pekebun kecil, serta pemain industri lain semuanya berpeluang mendapat keuntungan daripada peningkatan hasil. 

Justeru katanya, keuntungan yang lebih tinggi itu nanti bakal membantu kerajaan meningkatkan hasil cukainya.

“Hasil cukai yang tinggi membantu kerajaan melaksanakan lebih banyak projek sosioekonomi termasuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan menyampaikan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan.

“Berdasarkan unjuran purata harga MSM bagi 2022 sebanyak RM4,250 setan dan unjuran pengeluaran MSM bagi 2022 sebanyak 19 juta tan, dianggarkan jumlah kutipan cukai keuntungan pada 2022 akan melebihi RM1 bilion. Industri minyak sawit juga dianggarkan menjana hasil cukai bernilai RM2 bilion lagi daripada cukai eksport pada 2022.

“Perkembangan ini tepat pada masanya memandangkan kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit sejak dua tahun lalu untuk membantu rakyat Malaysia berikutan krisis pandemik Covid-19 serta kemerosotan ekonomi,” katanya.

Tegas Zuraida, KPPK akan meningkatkan usaha untuk membantu pemain industri di bawah bidang kuasanya merebut peluang ekonomi ini, termasuk membuka lebih banyak pasaran untuk komoditi negara. 

“Negara-negara seperti Iran, Turki, India dan China telah menyatakan minat untuk meningkatkan import komoditi kita. Beberapa negara telah meningkatkan pembelian mereka untuk produk ini, sementara yang lain sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian perdagangan.

“Sebagai contoh, China dijangka mengimport tambahan 500,000 tan minyak sawit dari Malaysia pada 2022 manakala India dijangka menjadi destinasi pasaran utama negara untuk minyak sawit Malaysia, dengan tambahan import sebanyak dua juta tan tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya