Funding Societies umum belian balik ESOP RM67 juta - Utusan Malaysia

Funding Societies umum belian balik ESOP RM67 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Funding Societies, platform pembiayaan digital PKS terbesar di Asia Tenggara, mengumumkan belian balik Pelan Pemilikan Saham Pekerja (ESOP) untuk warga kerja sedia ada dan terdahulu bernilai AS$16 juta (RM67 juta). 

Belian balik ESOP ini adalah aktiviti belian balik yang keempat pernah dilakukan oleh platform fintech itu. Sebelum ini, warga kerja dan alumni syarikat tersebut telah menjual saham ESOP mereka bernilai AS$3.5 juta (RM14.7 juta).

Menurut syarikat berkenaan, polisi ESOP Funding Societies telah dirangka bagi mendukung keterangkuman dan kesaksamaan di mana, di bawah skim belian balik ini, semua warga kerja sedia ada dan terdahulu yang layak berhak untuk menjual saham mereka tanpa diskaun mengikut harga saham pilihan Siri C+ kepada pelabur yang ingin mengambil bahagian, berbanding diskaun 20 peratus yang biasa diamalkan dalam industri. 

“Para pekerja juga boleh memilih sama ada untuk terus memegang ESOP mereka atau menukarnya kepada saham, seterusnya menjadi pemegang saham syarikat,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, ramai warga kerja layak untuk menerima polisi ESOP, termasuk warga kerja baharu dengan syarikat menawarkan peruntukan ESOP sebanyak 50 peratus daripada jumlah gaji tahunan untuk warga kerja baharu yang layak, seterusnya menerajui dan menetapkan standard pasaran baharu bagi industri.

Mengulas perkara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Modalku, Kelvin Teo berkata, syarikat memutuskan untuk membuat belian balik tanpa diskaun lazim sebanyak 20 peratus yang biasa diamalkan oleh industri, dengan penambahan nilai beberapa juta lagi ke dalam pembayaran tunai, sebagai satu daripada cara terbaik untuk menyatakan terima kasih kepada warga kerja.

“Saya turut merasa terharu apabila ada di antara mereka telah berkongsi membeli rumah pertama hasil daripada ESOP ini,” katanya.

Bagi Wong Kah Meng yang juga Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu,  tenaga kerja adalah aset terbesar syarikat dan syarikat tidak akan mengecapi kejayaan pada hari ini tanpa kerja keras dan dedikasi mereka. 

“Dalam kami fokus untuk terus berkembang maju pada tahun ini, kami menyasarkan untuk memupuk persekitaran yang sama dalam menyokong semua rakan sekerja kami, dan skim ESOP ini adalah lanjutan daripada usaha kami dalam menzahirkan penghargaan kami. Pusingan belian balik kali keempat ini akan memberikan ganjaran kepada lebih ramai lagi bekas rakan sekerja dan rakan sekerja sedia ada, termasuk tenaga kerja kami di Malaysia,” jelas beliau.

Pengumuman berkenaan dibuat hanya sebulan selepas pusingan pendanaan C+ syarikat itu berjumlah AS$294 juta (RM1.23 bilion) diterajui oleh SoftBank Vision Fund 2 dan para pelabur lain, termasuk VNG Corporation, Rapyd Ventures, serta pelabur global yang berpangkalan di Asia seperti EDBI, Indies Capital, K3 Ventures, dan Ascend Vietnam Ventures. 

Pusingan itu termasuk kemudahan pinjaman bernilai AS$150 juta (RM630 juta) daripada institusi pemberi pinjaman di Eropah, Amerika Syarikat, dan Asia.

Kebanyakan dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi memacu perkhidmatan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh Asia Tenggara, jelas syarikat itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya