EGO bina kilang pembuatan makanan berasaskan minyak sawit - Utusan Malaysia

EGO bina kilang pembuatan makanan berasaskan minyak sawit

MD. RAHIDIN Sahar (lima dari kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah Empire Golden Oil Refinery (EGO) Sdn. Bhd. selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan kilang di Jeransong di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sebuah syarikat kilang penapis minyak sawit tempatan, Empire Golden Oil Refinery (EGO) Sdn. Bhd telah melabur hampir RM100 juta untuk membina kilang di Jeransong, terletak 13 kilometer dengan bandar ini bagi memproses minyak sawit mentah untuk pengeluaran barang makanan termasuk makanan haiwan dan keperluan rumah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif EGO Sdn. Bhd.,  Datuk Md. Rahidin Sahar berkata, kilang tersebut dibina di tapak seluas 7.6 hektar kini sedang giat dengan kerja penanaman cerucuk (tiang) dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan lagi.

“Ini antara kilang yang pertama di Pahang menyaksikan penghasilan produk tersebut untuk kegunaan tempatan dan juga akan dieksport ke luar negeri.

“Kilang ini akan memproses minyak sawit mentah (CPO) seberat 900 tan metrik sehari untuk menghasilkan produk komersial seperti makanan, keperluan rumah dan sebagainya,” katanya selepas majlis pecah tanah projek kilang bersama Ahli Lembaga Pengarah EGO Sdn. Bhd., di Jeransong dekat sini semalam.

Menurut Md. Rahidin, bekalan minyak sawit diperoleh daripada Kilang Kelapa Sawit Jerantut (KKSJ) yang terletak kira-kira 200 meter dengan tapak tersebut telahpun beroperasi lebih 10 tahun lalu di bawah pengurusan syarikat yang sama.

“Hasrat utama EGO Sdn. Bhd. melabur sejumlah wang yang banyak membina kilang di sini untuk membantu kerajaan memenuhi keperluan barangan tempatan bersumberkan minyak sawit, iaitu minyak masak, marjerin, mentega, sabun, cecair pencuci, cokelat, makanan ringan dan makanan haiwan,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan kilang EGO Sdn. Bhd. berdekatan KKSJ merupakan langkah terbaik pihak pengurusan syarikat untuk menjimatkan kos pengangkutan dan pengeluaran lagipun tapak tersebut berdekatan dengan ladang sawit milik pekebun kecil tempatan dan Risda di kawasan Jerantut dan Lipis.

“Sektor pembuatan di kilang ini akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kira-kira 200 orang anak tempatan dalam kalangan siswazah hingga hingga peringkat bawah dalam bidang kejuruteraan pengeluaran, makmal kajian, pekerja pengeluaran dan pembungkusan, pengangkutan dan sebagainya,” ujarnya.

Mengulas perkara itu, beliau menjelaskan terdapat 500 produk berasaskan minyak sawit mentah yang boleh diproses, tetapi buat permulaannya syarikat tersebut cuma mengeluarkan beberapa produk komersial untuk kemudahan pengguna sebagai keperluan harian di rumah.

Jelasnya, produk daripada kilang EGO Sdn. Bhd. akan mengisi rak di kedai dan pasar raya di Pahang dan seluruh negara amnya selepas kilang siap dibina serta memulakan operasi tidak lama lagi malahan turut menembusi pasaran ke negara China, India, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Asia Tenggara menerusi pembekal di sana.

“Produk tersebut akan dipasarkan dengan harga lebih murah bagi membantu kerajaan memenuhi penjimatan perbelanjaan isi rumah atau kalangan penduduk khususnya yang berpendapatan rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya