PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) mengumumkan ikrar alam sekitar sempena pelan hala tuju Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) terbarunya.
Duopharma Biotech berhasrat untuk mencapai Neutraliti Karbon menjelang 2030, Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 dan menggantikan 50 peratus penggunaan plastik Sekali Guna dengan plastik Biodegradasi dalam operasinya menjelang 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pihaknya telah menyelaraskan ikrar alam sekitar yang terdapat di dalam pelan hala tuju ESG, selari dengan sasaran alam sekitar Kerajaan serta Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Untuk sasaran Pencapaian Iklim, kami bekerjasama dengan United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) untuk melatih pasukan kami tentang kesedaran iklim, neutraliti karbon dan kesedaran sifar bersih, serta untuk Laporan Kemapanan Tahunan kami yang diterbitkan dalam talian untuk disemak oleh semua pelabur dan pihak berkepentingan.
“Memandangkan sains iklim masih menyaksikan perkembangan baharu, kami tentu sekali memberikan perhatian yang teliti dalam melaksanakan pengetahuan baharu ke dalam strategi kami” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, inisiatif ESG tidak boleh dilihat sebagai usaha sampingan kepada perniagaan utama tetapi sebaliknya ia harus menjadi tunjang kepada operasi syarikat secara menyeluruh.
“Sejak Duopharma Biotech secara rasminya telah memulakan perjalanan ESG kami pada 2016, kami telah menyediakan struktur dan sistem untuk mewujudkan tahap kesedaran yang tinggi di kalangan semua kakitangan dan untuk menyelaraskan strategi perniagaan kami dengan strategi dan matlamat ESG kami.
“Kami yakin inisiatif ini akan membantu kami mencapai Matlamat Iklim dan juga matlamat ESG yang lain,” tambahnya.
Matlamat kumpulan untuk mengurangkan pelepasan melibatkan tiga skop iaitu pelepasan langsung daripada operasi, pelepasan tidak langsung daripada tenaga yang dibeli dan semua pelepasan lain yang berkaitan dengan aktiviti syarikat.
Untuk mencapai matlamat syarikat dalam Prestasi Iklim, Duopharma Biotech menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan dengan meningkatkan kecekapan tenaga, meningkatkan inisiatif ekonomi kitaran, serta mencapai neutraliti karbon melalui pengimbangan pelepasan dengan pembelian kredit offset karbon, melabur dalam perhutanan dan penyerapan karbon dan mengkaji teknologi baharu dan pendigitalan yang boleh mengurangkan pelepasan dengan lebih cekap. – UTUSAN