Cukai vape: Kerajaan hilang RM1 bilion - Utusan Malaysia

Cukai vape: Kerajaan hilang RM1 bilion

INDUSTRI vape berpotensi untuk memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara dalam aspek percukaian dan mewujudkan peluang pekerjaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka kehilangan hasil cukai sehingga RM1 bilion daripada produk vape sekiranya Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Rokok Elektronik terus ditangguhkan.

Justeru, perubahan kawal selia dalam mengenakan cukai dan mengawal selia produk vape perlu dilakukan segera terutamanya terhadap produk e-cecair yang mengandungi nikotin.

Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre (DARE), Pankaj Kumar berkata, situasi itu tidak boleh dibiarkan kerana kerajaan bukan sahaja kehilangan hasil tetapi juga dilihat tidak mengambil tindakan untuk melindungi pengguna yang terus membeli produk vape yang tidak terkawal.

“Sekarang rang undang-undang itu ditangguhkan, penyelesaian adalah Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan kuasanya di bawah undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan peraturan atau garis panduan mengenai produk vape. 

“Dengan cara itu, KKM dapat memastikan produk dikawal selia dengan standard keselamatan dan kualiti yang baik. Lebih penting, kerajaan juga boleh mula mengutip cukai daripada produk itu,” katanya dalam kenyataan.

Tahun lalu, Menteri Kewangan mengumumkan cukai ke atas e-cecair yang mengandungi nikotin dalam Bajet 2022 kepada bermula 1 Januari 2022 pada harga RM1.20 setiap mililiter. 

Bagaimanapun, pelaksanaannya telah ditangguhkan sementara menunggu pembentangan rang undang-undang Kawalan Tembakau dan Rokok di Parlimen.

Menurut Pankaj, disebabkan vape kurang berbahaya daripada produk tembakau dan terbukti mengurangkan kelaziman merokok, kerajaan juga sepatutnya mempunyai sistem percukaian yang menggalakkan perokok untuk bertukar.

“Cukai ke atas produk vape sepatutnya berkadar risiko untuk menggalakkan perokok beralih kepada vape dan berhenti merokok. Duti eksais RM1.20 setiap mililiter seperti yang diumumkan sebelum ini terlalu tinggi dan akan menjadikan vape lebih mahal daripada rokok. 

“Ini menggagalkan tujuan menggunakan produk vape sebagai strategi untuk mengurangkan kelaziman merokok,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya