Chin Hin pemegang saham tunggal Ajiya Berhad - Utusan Malaysia

Chin Hin pemegang saham tunggal Ajiya Berhad

Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin, Chiau Haw Choon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konglomerat hartanah dan bahan binaan Chin Hin Group Berhad (Chin Hin) akan muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam pengeluar bahan binaan Ajiya Berhad (Ajiya), menjadikan Ajiya syarikat senaraian awam keempat dalam kumpulannya.

Chin Hin akan mengambil alih 24.68 peratus kepentingan ekuiti dalam Ajiya yang kaya dengan aset bernilai RM104.4 juta.

Menurut Chin Hin, pengambilalihan itu akan membantu Kumpulan mengembangkan rangkaian produknya daripada bahan binaan kepada  produk kaca keselamatan, bumbung logam, pintu logam dan bingkai tingkap yang bernilai tambah tinggi.

Itu merupakan pengambilalihan terbesar Chin Hin sejak penyenaraiannya di Pasaran Utama pada 2016.

Chin Hin telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan pemegang saham utama Ajiya dan Avia Kapital Sdn. Bhd. untuk memperoleh 72 juta saham biasa atau 24.68 peratus kepentingan dalam Ajiya.

Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin, Chiau Haw Choon berkata, Kumpulan akan dapat memanfaatkan buku pesanan Ajiya dan rangkaian rantaian bekalan serta pelanggan, yang dibangunkan selama tiga dekat kewujudannya.

“Pengambilalihan itu sejajar dengan objektif Kumpulan untuk memperoleh kepentingan strategik dalam syarikat yang berpotensi untuk pertumbuhan masa depan.

“Faedah sinergistik dijangka timbul daripada pengambilalihan itu kerana kedua-dua Kumpulan dan Kumpulan Ajiya beroperasi dan memberi perkhidmatan kepada industri yang sama, iaitu industri pembinaan dan pembangunan hartanag,” katanya.

Ajiya mempunyai lembaran imbangan yang kukuh, disokong oleh jumlah aset sebanyak RM485.5 juta berbanding jumlah liabiliti sebanyak RM67.3 juta.

Ajiya juga merupakan syarikat tunai bersih dan mencatatkan simpanan tunai sebanyak RM146.7 juta pada akhir November 2021.

Syarikat itu melengkapkan tahun kewangan berakhir 30 November 2021 dengan kukuh iaitu mencatat keuntungan bersih RM18.9 juta berbanding pendapatan sebanyak RM268.5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya