KUALA LUMPUR: Capital A terus komited memberi peluang kepada setiap individu termasuk orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai kelayakan dan bakat dalam pelbagai bidang untuk menyertai syarikat tersebut tanpa prejudis.
Selari dengan itu, Capital A melancarkan kempen #TimeToListen untuk menonjolkan mereka yang berjaya mengatasi prejudis dan diskriminasi sosial serta menyediakan platform untuk mereka bersuara.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata, kempen tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang sikap mendiskriminasi dan prejudis.
“Menerusi kempen ini, saya berharap lebih banyak syarikat akan sedar dan memberi peluang kepada mereka untuk menunjukkan apa yang mereka mampu lakukan berbanding mempersoalkan kebolehan mereka,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara mewakili OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, kempen #TimeToListen itu akan membuka peluang kepada golongan OKU untuk menyertai Capital A sebagai pekerja dan pada masa yang sama memberi kesedaran kepada orang ramai.
“Saya harap lebih banyak syarikat selepas ini akan turut sertai langkah Capital A dengan memberi peluang kepada golongan OKU tanpa mengira kategori.
“Mereka juga layak diberi peluang berdasarkan kelayakan mereka. Sebagai contoh, sekiranya mereka mempunyai Ijazah dalam sesuatu bidang, seperti orang biasa, mereka harus diberikan kerja selaras dengan pencapaian itu tanpa sebarang diskriminasi dan prejudis,” ujarnya.
Sempena pelancaran kempen terbabit, Capital A juga telah mengumumkan Aliff Shaharom atau Airliftz sebagai duta mereka yang telah menandatangani perjanjian dengan RedRecords, cabang hiburan airasia Super App.
Menurut Airliftz, oleh kerana dia dilahirkan tanpa tulang hidung, dia telah menghadapi pelbagai diskriminasi dan prejudis semasa membesar.
“Saya amat berbesar hati kerana dapat berkongsi kisah hidup saya untuk kempen #TimeToListen dan memberi inspirasi kepada semua melalui mesej yang disampaikan,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kemudahan pinjaman peribadi digital pertamanya iaitu BigPay, Tony memberitahu, setakat ini, pihaknya mempunyai sebanyak 1.5 juta pelanggan yang kebanyakannya merupakan pelanggan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Jika melihat ekosistem kami, kami banyak membantu PKS yang membuat perniagaan logistik, makanan dan minuman (F&B), agensi pelancongan dan banyak lagi.
“Kami percaya selain membantu golongan B40, PKS adalah enjin pertumbuhan negara yang memerlukan kecairan dan pinjaman. Jadi, kami sangat komited untuk membantu mereka,” katanya.
Selain itu, ujarnya, BigPay turut merancang untuk mendapatkan lesen bank digital daripada Thailand dan Indonesia pada masa depan. – UTUSAN