PETALING JAYA: Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) bekerjasama dengan Institut Jantung Negara Sdn Bhd (IJN) bagi membangunkan vaksin Covid-19 di Malaysia.
Kolaborasi ini diwujudkan berdasarkan perkongsian sedia ada antara subsidiari-subsidiari syarikat iaitu Bintai Healthcare Sdn Bhd (“BHSB”), Generex Biotechnology Corp. (Generex) dan NuGenerex Immuno-Oncology Inc. bagi memajukan pengkomersialan vaksin Ii-Key-SARS-CoV-2 coronavirus (Covid-19).
Di bawah perjanjian itu, Bintai Kinden bertanggungjawab memperkenalkan vaksin Covid-19 di Malaysia manakala IJN akan menerajui dan melakukan ujian klinikal vaksin seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
IJN akan menjadi Organisasi Penyelidikan Klinikal dan satu daripada tapak kajian bagi Bintai Kinden di bawah rancangan pembangunan komersial vaksin Covid-19 di negara ini.
Mengulas mengenai kolaborasi tersebut, Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, perkongsian itu akan membawa syarikat selangkah lebih dekat untuk memperkenalkan vaksin Covid-19 baharu di Malaysia.
“Selepas Generex menerima kelulusan penuh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) untuk vaksin tersebut dan menyediakan dokumentasi sepenuhnya kepada BHSB, proses pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Malaysia bagi vaksin ini akan dimulakan,” katanya.
Semalam, Bintai Kinden menyerahkan cek RM100,000 sebagai geran awal kepada IJN menerusi penubuhan Geran Penyelidikan Covid-19 Bintai Healthcare-IJN bagi membiayai program-program penyelidikan. – UTUSAN