Subsidi haji yang tidak dikawal boleh sebabkan masalah kewangan TH

Tidak wajar TH tanggung kenaikan kos haji

HARUN KC AHMMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) berpendapat, isu subsidi haji yang tidak dikawal boleh menyebabkan masalah kewangan untuk LembagaTabung Haji (TH) pada masa depan.

Presidennya, Harun KC Ahmmu berkata, umat Islam perlu faham haji disyaratkan kepada mereka yang mampu dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan juga kebenaran atau kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi.

“Kos haji yang meningkat setiap tahun adalah di luar kawalan TH. Sebelum pandemik Covid-19, tanggungan haji adalah dalam lingkungan RM400 juta setahun.

“Jika ekonomi tidak baik, maka perniagaan akan kurang untung. Jadi kenapa perlu tambahkan beban TH untuk terus tanggung subsidi haji yang tinggi? Kalau harga barang di pasar pun naik, takkan subsidi haji kekal sedangkan kos-kos lain meningkat?

“Sekiranya ada haji tahun ini, saya menjangkakan TH terpaksa mengeluarkan tanggungan yang lebih disebabkan kenaikan kos-kos dan juga prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

“Persoalannya, adakah wajib untuk TH  menanggung semua lebihan perbelanjaan pengurusan jemaah haji?,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, pada 2019, bayaran haji masih kekal RM9,980 dan kos sebenar adalah RM22,900 di mana subsidi haji yang dikeluarkan sebanyak RM12,920 atau 56 peratus daripada kos haji.

Katanya, itu menunjukan jemaah yang menunaikan haji lebih bergantung kepada  subsidi daripada kemampuan sendiri.

Harun menjelaskan, keuntungan yang diperoleh oleh TH setiap tahun telah diagihkan kepada semua pendeposit sebagai agihan keuntungan.

Menurut beliau, TH perlu mengimbangi keperluan bantuan kewangan haji dan agihan keuntungan.

Tambahnya, tanggungan subsidi haji sebanyak RM400 juta adalah hasil daripada keuntungan yang hanya dinikmati oleh seramai 24,000 jemaah haji Muassasah dari keseluruhan 30,000 jemaah haji Malaysia.

Harun berkata, hanya 20 peratus menggunakan khidmat pakej swasta yang dilesenkan TH. Bagi jemaah yang menunaikan haji melalui pakej swasta pula tiada subsidi dengan kos pakej dan Muassasah amat berbeza sekali.

“Kita harus melihat isu subsidi haji itu dengan lebih jauh dan rasional. Kita seharusnya memandang kestabilan sesebuah organisasi terutama TH yang harus berusaha memberi pulangan stabil setiap tahun.

“Jangan bebankan institusi Islam itu kerana TH juga sama seperti syarikat lain yang perlu berniaga atau melabur untuk dapatkan keuntungan,” katanya.

Tambah beliau, keyakinan pendeposit terhadap TH juga perlu diperkasakan dengan pulangan selepas zakat yang lebih tinggi bagi membolehkan mereka mengerjakan haji dengan pulangan yang terkumpul itu.

Jelasnya, pada 2019, TH telah mengagihkan keuntungan sebanyak 3.05 peratus berjumlah RM2.14 bilion manakala pada 2020 pula sebanyak RM2.24 bilion.

“Kadar keuntungan yang diperoleh oleh pendeposit adalah baik berbanding kadar simpanan tetap di perbankan Islam dan konvensional.

“Pendeposit TH juga tidak perlu lagi mengeluarkan zakat kerana TH telah melunaskan zakat dan ini juga memberi memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya