PETALING JAYA: Syarikat Power Root Berhad melancarkan Per’I Yuzu, minuman yang menggabungkan elemen pemakanan terbaik dari Korea dan herba tradisional Melayu.
Ia hasil kajian dan penilaian pasaran yang dijalankan oleh Power Root. Produk terbaharu itu di bawah jenama Per’l, minuman berunsurkan kacip fatimah pilihan utama dalam pasaran.
Pengerusi Bersama Power Root, Datuk Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj berkata, kebanyakan rakyat Malaysia sudah mengetahui kehebatan kacip fatimah dan kolagen dalam mengekalkan kecantikan dan kesihatan wanita tetapi ramai yang masih belum mengenali rahsia kebaikan buah Yuzu.
“Jika kacip fatimah adalah ratu segala herba tradisional di Malaysia, buah Yuzu boleh dianggap raja segala buah di Korea.
“Sebenarnya, buah Yuzu mempunyai khasiat vitamin C tiga kali ganda lebih daripada lemon dan 10 kali ganda lebih banyak kalsium daripada epal.
“Walaupun Yuzu turut ditanam di China dan Jepun, Yuzu yang paling berkualiti datang dari Korea,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Per’l Yuzu akan menarik perhatian segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, jantina dan umur serta memenuhi kehendak dan citarasa mereka.
Bagi mempromosikan minuman terbaharu itu, Power Root telah melantik penyanyi dan pelakon sensasi Korea, Jang Han Byul sebagai duta jenama Per’l Yuzu.
“Kami memilih Han Byul kerana perwatakan dan personalitinya yang sesuai dengan konsep dan objektif syarikat kami dalam memperkenalkan Per’l Yuzu kepada masyarakat umum,” katanya.
Ditubuhkan pada 23 Julai 1999, Power Root merupakan syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia.
Ia mengilang dan mengedar produk-produk minuman dan mempunyai rangkaian minuman tenaga herba yang diperkaya dengan ramuan herbaherba tradisional tongkat ali dan kacip fatimah. – UTUSAN