KANGAR: Kewujudan platform e-dagang Ordersini yang diasaskan seorang anak muda, Nas Iffat Mohd Salleh,32, sejak 2016 banyak membantu usahawan memulakan perniagaan dan memasarkan barangan secara dalam talian itu.
Saban tahun, platform percuma tersebut terus berkembang pesat dengan sehingga kini terdapat lebih 3,700 kedai atau peniaga yang aktif di platform berkenaan selain menampilkan lebih 40,000 produk serta pengguna yang sudah mencecah lebih 300,000.
Sistem berkenaan diwujudkan bagi membantu usahawan memasarkan produk jenama sendiri menggunakan platform tersebut.
Malah, Ordersini juga sebagai pilihan peniaga konvensional yang mahukan transformasi digital terhadap perusahaan mereka, malah platform ‘mesra’ pengguna itu mudah dengan peniaga hanya mendaftar, bina laman kedai seterusnya sudah boleh digunakan.
Platform percuma
Nas Iffat berkata, beliau mengasaskan platform percuma itu bagi memberi ruang kepada peniaga berkongsi rezeki dan berniaga secara digital, selari dengan zaman teknologi yang kebanyakkan sudah beralih kepada perniagaan secara dalam talian yang lebih mudah.
Kata anak kelahiran Kedah itu, sistem berkenaan bertujuan bagi memudahkan penggunaan terutamanya bagi peniaga yang menghadapi kesukaran menjalankan perniagaan ketika perlu beralih kepada digital.
“Kita juga sentiasa berusaha menaik taraf dan menambah fungsi baharu setiap hari bagi memastikan pengguna dapat menjana jualan memberangsangkan. Platform ini juga akan dilengkapi dengan sistem pemasaran lebih unik, mesra pengguna dan canggih.
“Antaranya bagi tahun 2022 ini, kita akan mewujudkan ekosistem lebih besar iaitu ‘home storage’ di mana peniaga boleh menyimpan produk mereka di platform berkenaan tanpa dikenakan secara caj,” katanya di sini hari ini.
Tambah Nas Iffat, pihaknya juga menyasarkan penambahan peniaga sehingga 10,000 di dalam platform berkenaan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
“Kita juga bakal mengorak langkah termasuk menembusi pasaran negara jiran seperti
Singapura, Brunei dan Indonesia. Malah Dalam dua tahun ini sahaja, Ordersini menerima jumlah pengguna dan permintaan tinggi untuk menggunakan sistem yang dibangunkan itu.
“Malah, Ordersini juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi rakan penyedia program Micro Connector SME Corporation Malaysia yang memberi peluang kepada usahawan melakukan transformasi digital khususnya ketika musim pandemik ini,” katanya.- UTUSAN