IMPAK varian Delta yang meningkatkan kes jangkitan Covid-19 dalam negara sehingga pernah mencapai lima angka kes harian untuk tempoh yang agak lama menangguhkan pemulihan ekonomi yang dijangka dapat dicapai Malaysia pada 2021.
Peningkatan kes tersebut menyaksikan kerajaan kembali melaksanakan langkah pembendungan melalui beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP Penuh pada Jun.
Ini sekali gus memberi impak kepada permintaan domestik dan mengehadkan aktiviti ekonomi, seterusnya melambatkan proses pemulihan.
Selepas mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) -5.6 peratus pada 2020, prestasi ekonomi Malaysia sedikit pulih pada suku pertama dengan penyusutan 0.5 peratus sebelum melonjak 16.1 peratus pada suku kedua. Walau bagaimanapun, impak langkah pembendungan dilihat pada suku ketiga apabila KDNK kembali menyusut 4.5 peratus.
Selain prestasi ekonomi yang tidak menentu, Malaysia turut menghadapi cabaran krisis politik apabila berlaku perubahan pimpinan kerajaan pada Ogos. Menurut MIDF Research, kedua-dua krisis tersebut memberi kesan kepada pasaran apabila indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI mengalami penyusutan tahun ke tahun.
Bursa Malaysia bagaimanapun menutup tirai 2021 dengan prestasi lebih baik pada 1,567.53, meningkat 23.92 mata.
Ringgit juga merekodkan prestasi lebih kukuh berbanding dolar AS apabila ditutup pada 4.1740/4.1650.
2022 LEBIH BAIK
MIDF Research mengunjurkan prestasi ekonomi dan pasaran yang lebih baik pada 2022.
Malah, ia mengunjurkan KDNK negara akan tumbuh sekitar 6 peratus tahun hadapan, peningkatan daripada jangkaan sekitar 3.7 peratus tahun ini.
Katanya, pemulihan aktiviti ekonomi dijangka berterusan apabila kedua-dua pengguna dan perniagaan akan meningkatkan perbelanjaan disebabkan unjuran yang lebih baik pada tahun ini.
Walau bagaimanapun, katanya, beberapa isu tetap perlu diperhatikan dan membawa risiko kepada pertumbuhan termasuk penemuan varian baharu Covid-19, Omicron; tekanan inflasi berterusan; kemerosotan pasaran hartanah China dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menuju 2022, MIDF Research meletakkan empat situasi yang memungkinkan FBM KLCI dapat mengakhiri 2022 pada sekitar 1,700 mata.
Ia termasuk keadaan pencairan mencukupi tetapi dasar monetari sederhana ketat; apa-apa kenaikan dalam kes Covid-19 membawa kepada langkah pembendungan tetapi bukan sekatan pergerakan besar-besaran seluruh negara disebabkan kadar pemvaksinan yang tinggi; pihak berkuasa China mengendalikan pasaran hartanahnya dengan proaktif dan PRU15, jika dilaksanakan, tidak mengakibatkan tindakan harga negatif.
RINGKASAN 2021
Tahun 2021 menyaksikan kecemerlangan sektor teknologi yang mencatatkan peningkatan 37.6 peratus tahun ke tahun disebabkan penggunaan teknologi yang meningkat disebabkan pandemik.
Menurut MIDF Research, sektor itu dijangka terus kukuh dalam tempoh beberapa tahun ini memandangkan ia akan menjadi asas untuk mencapai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Begitu juga, institut penyelidikan itu melihat isu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjadi keutamaan pada tahun tersebut.
“Kesalahan konsep berkaitan ESG dalam sektor perladangan diketahui ramai dan menyaksikan sektor ini merosot dengan Indeks Perladangan Bursa Malaysia menyusut 11.3 peratus (sehingga 7 Disember).
“Terdapat juga beberapa isu dibangkitkan dalam sektor sarung tangan dan baru-baru ini, teknologi merupakan sektor terbaharu yang menerima kesan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, secara umumnya pasaran saham Malaysia begitu meruap pada tahun ini disebabkan oleh beberapa faktor.
Jelas beliau, faktor utama ialah pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang telah menyebabkan pendapatan syarikat tersenarai terjejas selain pergolakan politik negara menjadi perhatian dunia.
“Justeru, suasana ketidakpastian itu banyak menyumbang kepada prestasi pasaran yg agak lembab pada tahun ini.
“Namun begitu, sektor-sektor seperti teknologi dan barangan industri telah menunjukkan prestasi yang cemerlang.
“Oleh itu, para pelabur begitu selektif dalam keputusan mereka untuk melabur di pasaran saham,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Melangkah ke hadapan, Mohd. Afzanizam memberitahu, ekonomi global dan domestik dijangka akan lebih baik berikutan proses pembukaan ekonomi yang masih berterusan.
Namun ujarnya, risiko seperti penularan wabak Covid-19 serta kemunculan varian baharu mampu menjejaskan sentimen pasaran dengan sekelip mata.
Tetapi, katanya, usaha kerajaan untuk memberi akses kepada suntikan vaksin dos ketiga kepada rakyat seharusnya dapat melegakan risiko itu kerana ia akan memastikan risiko penularan kekal rendah.
“Pihak kami mengunjurkan FBM KLCI mencecah 1,750 mata pada akhir 2022 dengan sektor-sektor utama seperti perbankan, teknologi telekomunikasi, perladangan dan sebagainya menjadi pemacu kepada prestasi pasaran pada tahun depan.
“Bagaimanapun, isu utama yang bakal dihadapi pada tahun depan adalah kenaikan kadar inflasi dan kadar faedah di serata dunia dan tempatan,” katanya. – UTUSAN