SKM kenang jasa wira koperasi negara - Utusan Malaysia

SKM kenang jasa wira koperasi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sepanjang 38 tahun menerajui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA),
pelbagai idea dan sumbangan diberikan oleh beliau bagi memperkasakan gerakan koperasi
Malaysia di mata dunia, terutamanya melalui pendidikan koperasi sebagai legasi yang
berterusan.

Namanya terus diingati dan dipahat pada bangunan ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana
Jaya, Selangor semenjak 1997 dan kekal hingga hari ini.

Seorang tokoh yang disegani dalam bidang pendidikan dan ekonomi serta pelopor gerakan
koperasi di Malaysia, Yang Dipertua ANGKASA pertama, Profesor Diraja Ungku A. Aziz Ungku
Abdul Hamid.

Menelusuri sejarah figura ilmuan hebat yang dikenali sebagai Ungku Aziz, tentunya
Allahyarham antara cendekiawan tersohor negara yang menjadi inspirasi kepada generasi
muda.

Allahyarham dilahirkan pada 28 Januari 1922 di Hampstead, London dan mendapat pendidikan
awal di Sekolah Melayu Batu Pahat, English College di Johor Bharu sebelum melanjutkan
pelajaran di Raffles College dan Universiti Malaya Singapura.

Mendapat ijazah dari Universiti Malaya (Singapura) pada 1951 dan dilantik menjadi Pensyarah
Ekonomi di universiti tersebut dari 1952 hingga 1961.

Allahyarham memegang jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang pertama
dan paling lama berkhidmat pada 1968 hingga 1988 dan dianugerahkan gelaran Profesor Diraja
pada 17 Jun 1978.

Figura ini juga antara pelopor dan penggerak kesinambungan gerakan koperasi di Malaysia
yang bermula di UM dan menjadi pengasas kepada penubuhan Kedai Syarikat Bekerjasama
Universiti Malaya (Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya) pada 1966 serta dilantik sebagai
Pengerusi Lembaga dari 1968 hingga 2002.

Allahyarham yang juga bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar,
dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun
1978.

Pada peringkat kebangsaan, Allahyarham dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Kumpulan Wang
Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPK), Ahli Majlis Perundingan Koperasi (MPKK), anggota
lembaga Bank Kerjasama Rakyat dari 1983 hingga 1984 dan Ahli Majlis Maktab Koperasi
Malaysia (MKM) pada 1987.

Allahyarham juga memainkan peranannya sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan Sumber
Manusia Ikatan Koperasi Kebangsaan (ICA), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber
Manusia ICA Rantau Asia Pasifik dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap ICA Rantau Asia
Pasifik.

Bukan itu saja, Ungku Aziz juga salah seorang pengasas kepada penubuhan ANGKASA
bermula 1966 semasa Kongres Kerjasama Pertama dengan membentangkan satu kertas kerja
bertajuk ‘Gerakan Kerjasama dan Pembangunan Negara’.

Allahyarham dilantik sebagai Yang Dipertua ANGKASA yang pertama pada 12 Mei 1971, dan
mempertahankan jawatan tersebut sehingga 2009.

Selain itu, Allahyarham turut memulakan Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) pada 1976 yang
menyediakan kemudahan potongan gaji kepada penjawat awam yang menjadi anggota
koperasi. Perkhidmatan ini menjadi salah satu identiti ANGKASA hingga sekarang.

Pada 2001, Allahyarham dianugerahkan sebagai ‘Wira Koperasi’ oleh ANGKASA sempena Hari
Koperasi Antarabangsa Ke-79 dan Sambutan 30 tahun ANGKASA, serta dianugerahkan Tokoh
Koperasi Negara semasa sambutan Hari Koperasi Negara kali pertama pada 21 Julai 2002, dan
dipilih untuk menerima anugerah ‘Rochdale Pioneers Award’ daripada ICA pada 19 Oktober
2007.

“Jika koperatif itu dijalankan dengan betul, maka seharusnya tidak akan timbul sedikit pun
penindasan ekonomi ke atas rakyat, sama ada pengeluar, pekerja ataupun pengguna. Inilah
sebabnya orang memilih cara koperatif untuk menambah baik keadaan rakyat jelata yang
tertindas dalam kemiskinan.” tulisnya dalam Buku Prinsip-prinsip Koperasi (1980).

Sepanjang hayatnya, Allahyarham menulis lebih daripada 50 buah buku mengenai isu ekonomi
dan sosial.

Allahyarham juga dianugerahkan Tokoh Ekonomi Melayu pada 25 Jun 2005 dan menerima
Anugerah Akademik Negara pada 2006.

Selain itu, Allahyarham juga antara tokoh ekonomi yang terbabit dalam merangka Dasar
Ekonomi Baru (DEB).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya