Pengeluaran tambahan KWSP bebankan generasi muda di masa hadapan - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Pengeluaran tambahan KWSP bebankan generasi muda di masa hadapan – Tengku Zafrul

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zaftul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, hampir RM101 bilion simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dikeluarkan pencarum melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Kata beliau, ahli-ahli KWSP dibenar mengeluarkan simpanan sehingga RM71,000 bagi mengurangkan impak luar biasa pandemik Covid-19 terhadap rakyat.

Jelasnya, mengambil contoh banjir sekarang, pada 2014 Malaysia juga dilanda banjir teruk, namun pengeluaran KWSP tidak dibolehkan.

“Begitu jugalah pendekatan kerajaan hari ini. Selain bantuan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP), kerajaan juga menyediakan bantuan tunai mencecah RM10,000 bagi setiap isi rumah terkesan banjir dan sehingga RM61,000 bagi yang mengalami kemusnahan total.

“Dengan langkah ini, pencarum tidak perlu risau tentang simpanan dan dividen KWSP,” kata Tengku Zafrul dalam Instagram miliknya.

Menurut Tengku Zafrul, fakta yang rakyat perlu tahu adalah, hampir 50 peratus atau 6 juta pencarum mempunyai baki caruman kurang RM10,000 dan mereka tidak menerima manfaat pengeluaran tambahan KWSP.

Jelasnya, sebanyak 74 peratus daripada mereka adalah bumiputera dan lebih membimbangkan, 79 peratus mempunyai simpanan kurang RM1,000.

“Jika betul pihak ini ingin memperjuangkan nasib orang Melayu, walaupun maklum ramai yang tidak mempunyai cukup simpanan, apakah niat sebenar memperjuangkan pengeluaran tambahan?,” soalnya.

Menurut Menteri Kewangan itu, pesara perlukan RM240,000 untuk bersara selama 20 tahun dengan RM1,000 sebulan.

“Dengan simpanan kurang RM10,000, 6 juta ahli ini tidak dapat bersara dengan selamat.

“Pengeluaran tambahan akan menjadikan jumlah pencarum dengan simpanan kurang RM10,000 meningkat kepada hampir 7 juta.

“Pengeluaran tambahan juga akan memaksa KWSP melupuskan pelaburan, sekali gus mengurangkan dividen ahli. Ini akan mewujudkan impak susulan kepada pasaran bon dan saham negara, mengakibatkan keruntuhan keyakinan pelabur dalam dan luar negara,” jelas beliau lagi.

Tambah Tengku Zafrul, terdapat juga RM270 bilion wang simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan oleh ahli berumur lebih 55 tahun dan tidak lagi tertakluk kepada syarat-syarat pengeluaran.

Katanya, jika mereka sangsi hala tuju KWSP, simpanan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan memaksa pelupusan lebih banyak pelaburan KWSP dan terus menurunkan nilai dividen ahli.

“Dengan memenangkan kebajikan rakyat, langkah populis yang dicadangkan setengah pihak bukanlah langkah yang tepat. Akhirnya, rakyat juga yang akan terkesan pada jangka masa panjang dan anak cucu kita yang dibebani dengan kos menampung warga tua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya