BENTONG: Banjir besar yang melanda beberapa negeri bulan lalu telah menyebabkan banyak kemusnahan hingga menjejaskan kehidupan rakyat.
Prihatin dengan keadaan mangsa yang terjejas, UniSZA Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menganjurkan Misi Kasih Pasca Banjir di Pahang.
Misi selama tiga hari bermula 30 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 itu turut melibatkan peserta empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.
Tumpuan misi kali ini ialah membantu membersihkan kediaman peserta empower ECER di daerah Bentong dan Temerloh yang terjejas teruk dalam bencana tersebut.
Selain membantu peserta program, pasukan misi turut menghulurkan bantuan kepada komuniti setempat yang juga terjejas akibat bencana alam itu.
“Misi Pasca Banjir ini diadakan bagi meringankan beban peserta yang sudah tentu memerlukan bantuan dari segi tenaga bagi membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur selepas banjir.
“Pasukan misi kali ini berkesempatan membantu membersihkan beberapa rumah peserta antaranya Jamaliah Ahmad di Kampung Karak Setia yang mengikuti Kursus Masakan dan Penyediaan Makanan, Thinagaran Kalaiman di Taman Karak (Kursus Digitalpreneur) dan Nur Fuziana Mohd. Noor di Temerloh (Salon dan Gunting Rambut),” jelas Unisza Holdings dalam kenyataan.
Selain Pahang, UHSB turut menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM20,000 kepada Majlis Kebajikan Pelajaran Besut (MKPB) bagi membantu organisasi tersebut meneruskan usaha membantu mangsa banjir yang terlibat.
Majlis penyerahan cek sumbangan kepada MKPB telah diadakan pada 29 Disember 2021 di rumah Yang Dipertua Majlis Kebajikan Pelajaran Besut (MKPB).
UniSZA Holdings diperbadankan pada 12 September 2012 di Kuala Terengganu dan beroperasi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak.
Ia adalah syarikat induk dengan semua urusan perniagaan seperti penjualan, pembekalan, pertanian, pembangunan hartanah, perundingan dilaksanakan oleh anak-anak syarikatnya.
Anak-anak syarikat UHSB adalah UniSZA Properties Sdn. Bhd. (UPSB), UniSZA Consultancy Sdn. Bhd. (UCSB), UniSZA Trading & Supplies Sdn. Bhd. ( UTSSB), UniSZA Tourism Sdn. Bhd. (UTSB), UniSZA Agro & Biotech Sdn. Bhd. (UABSB) dan UniSZA Medical Services Sdn. Bhd. (UMSSB). – UTUSAN