PETALING JAYA: British American Tobacco (BAT) mengumumkan jenama vape neutral karbonnya, Vuse telah memenangi Anugerah Produk Lestari SEAL 2021.
Anugerah itu mengiktiraf Vuse sebagai produk inovatif dan memberi impak untuk masa depan yang mampan.
Ketua Pegawai Pemasaran BAT, Kingsley Wheaton berkata, pihaknya berbesar hati dengan anugerah yang diterima dan akan terus mencipta jenama masa depan dengan berteraskan kelestarian.
“Vuse telah disahkan sebagai jenama vape neutral karbon global yang pertama. Ini adalah sebahagian daripada Vuse yang lebih luas program kemampanan, yang bertujuan untuk menghapuskan plastik dan menggunakan pembungkusan boleh dikitar semula menjelang 2025.
“Kami berbangga kerana Vuse telah menetapkan standard kemampanan dalam kategori vape. Sebagai pemimpin jenama, ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
BAT memberi tumpuan kepada pelupusan dan kebolehan kitar semula produk Vuse melalui reka bentuk yang inovatif dan skim kitaran hayat, termasuk memperkenalkan skim ‘Drop the Pod’ dan pengambilan balik peranti untuk e-rokok Vuse terpakai.
Pek Vuse juga diperbuat dengan kadbod kitar semula dan mengeluarkan pembungkus dulang plastik ePen.
Vuse telah diperakui secara bebas sebagai jenama vape neutral karbon global pertama oleh Vertis pada Mei 2021, menandakan satu langkah penting dalam cita-cita BAT untuk Vuse menjadi jenama vape yang mampan dan menjaga alam sekitar
Ia juga menyumbang kepada sasaran Kumpulan BAT untuk menjadi perniagaan neutral karbon menjelang 2030 dan neutral karbon merentasi rantaian nilainya menjelang 2050. -UTUSAN