Senai Airport jual dua tanah bernilai RM68.3 juta - Utusan Malaysia

Senai Airport jual dua tanah bernilai RM68.3 juta

Ilustrasi cadangan kemudahan pembuatan infrastruktur IT Wiwynn Technology Service (Malaysia) Sdn. Bhd. di Lapangan Terbang Bandar Senai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senai Airport City Sdn. Bhd., (SACSB) memeterai dua perjanjian jual beli (SPA) dengan Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn. Bhd. untuk menjual dua bidang tanah perindustrian kosong di Senai Airport City berkeluasan 11.877 ekar dan 19.437 ekar dengan pertimbangan pembelian sekitar RM68.3 juta.

Zon perindustrian Bebas Bandar Lapangan Terbang Senai menjadi tapak pilihan Wiwynn Technology untuk mengembangkan kemudahan pembuatan infrastruktur teknologi maklumat (IT) awannya bagi membangunkan pelayan pengkomputeran berprestasi tinggi, produk storan dan penyelesaian rak untuk pusat data terkemuka di rantau Asia Pasifik. 

Pembinaan kemudahan pembuatan infrastruktur itu dijangka selesai menjelang 2023.

Naib Presiden Rantaian Bekalan dan Pembuatan Wiwynn Corporation, Robin Wang berkata, Bandar Lapangan Terbang Senai merupakan satu-satunya kawasan pembangunan perindustrian di Iskandar Malaysia dengan Zon Perindustrian Bebas dan Zon Komersial seluas 400 ekar yang memenuhi keperluan industri berorientasikan eksport, sekali gus menjadi lokasi ideal untuk hab pengedaran utama atau serantau di Asia Pasifik.

“Pembuatan di Malaysia adalah langkah penting bagi strategi pembuatan global Wiwynn. Zon perindustrian Bebas itu dapat memberi kami kelebihan dari segi kedudukan geografi yang hebat, kaya dengan bakat-bakat baharu dan fleksibiliti operasi yang tinggi untuk mengembangkan perniagaan kami dengan penuh yakin di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Model pembangunan ‘plug and play’ itu menyediakan jaminan kepada pelabur dan mempercepat garis masa pembangunan pelabur.

Tahun ini, SACSB telah menerima tujuh pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah hampir 140 ekar jualan tanah, dengan semua pengguna akhir menyasarkan untuk memulakan operasi pada 2022 dan 2023.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SACSB, Gan Seng Keong berkata, kunci kejayaan utama Senai Airport City adalah menerusi infrastruktur asas yang lengkap dan keterhubungan dengan pelabuhan dan lapangan terbang.

“Turut memainkan peranan penting, ialah kedudukannya di lokasi strategik dengan ekosistem dalam perindustrian matang di daerah Senai-Kulai,” katanya. 

SACSB merupakan anak syarikat tidak langsung milik MMC Corp. Bhd. manakala Wiwynn Technology merupakan anak syarikat milik penuh Wiwynn Corporation (Wiwynn), syarikat awam tersenarai di Bursa Saham Taiwan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya