Pertimbang moratorium 3 bulan bagi sektor industri terjejas banjir - Utusan Malaysia

Pertimbang moratorium 3 bulan bagi sektor industri terjejas banjir

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dirayu mempertimbangkan lanjutan moratorium untuk tempoh tiga bulan lagi kepada sektor industri yang teruk terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Tambah memburukkan keadaan, bencana itu turut melanda Lembah Klang yang terkenal dengan kawasan tumpuan perindustrian.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, moratorium tersebut amat diperlukan memandangkan nilai kerugian dan kerosakan terpaksa ditanggung diramalkan mencecah jutaan ringgit, sekali gus menjejaskan pemulihan sektor tersebut.

“Kawasan perindustrian di Shah Alam dan Klang, Selangor amat terjejas akibat banjir ini dan sudah pasti akan berlaku kerosakan harta benda, aset dan produk serta gangguan kepada pengeluaran.

“Di samping itu, kami menyeru kerajaan menyediakan beberapa bentuk pemberian one-to-one atau potongan cukai berganda ke atas perbelanjaan untuk memperbaiki atau menggantikan jentera yang rosak akibat banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tambah beliau, penghantaran barangan juga sudah tentu terbatas dalam keadaan ini jadi terdapat kebimbangan pengilang terpaksa menanggung caj penyimpanan dan pengalihan kerana ketidakupayaan untuk mengalihkan kargo mereka dari pelabuhan dan caj penahanan yang dikenakan akibat kelewatan memulangkan kontena kosong ke depoh. 

“Justeru, kami memohon bantuan pihak pelabuhan mengetepikan caj penyimpanan dan pengalihan selain campur tangan kerajaan dalam meminta syarikat perkapalan mengetepikan caj penahanan selagi kontena tidak dapat dihantar semula ke pelabuhan,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, sekiranya operasi kilang terpaksa dihentikan berikutan banjir, ia pasti akan menjejaskan rantaian nilai negara seterusnya mendatangkan masalah kepada pengguna.

“Bagi mengurangkan bebanan mereka, kerajaan perlu memberikan bantuan kepada perniagaan tersebut seperti pelepasan cukai berganda kepada majikan yang terjejas dari segi tenaga kerja.

“Subsidi upah juga boleh diberikan oleh kerajaan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mereka dapat terus beroperasi setelah mengalami kerugian akibat banjir.

“Ia mestilah dilakukan dengan segera tanpa banyak karenah birokrasi kerana jika bantuan bergerak perlahan, industri-industri dan rantaian nilai akan lumpuh sepenuhnya. Keadaan ini sangat tidak bagus untuk pemulihan ekonomi negara yang baru sahaja dibuka selepas pandemik Covid-19,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya