Pepes Warisan terus tempa nama dalam industri makanan - Utusan Malaysia

Pepes Warisan terus tempa nama dalam industri makanan

JUNAINI Jamari berbangga perusahaan pepes di bawah syarikat EJ Frozen Food Expert digemari ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keunikan hidangan pepes ayam mencetuskan ilham bagi Junaini Jamari, 47, yang juga pemilik EJ Frozen Food Expert untuk menghimpunkan aneka makanan sejuk beku berasaskan pepes di bawah jenama Pepes Warisan.

Kata Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, Pepes Warisan menghimpunkan enam jenis produk iaitu pepes ayam, ayam pandan, popiah cheese, pepes ikan dan otak-otak.

“Pernia­gaan ini bagai­mana­pun dimulakan secara kecil-kecilan di rumah yang terletak di Kota Tinggi, Johor, sekitar lapan tahun lalu. Resipi pepes juga di­hasilkan dengan menggunakan idea dan kreativiti sendiri.

“Alhamdulillah, sambutan diberikan pelanggan membolehkan saya meluaskan perniagaan sehingga membuka kilang pada 2016 selain bantuan diberikan oleh beberapa jabatan kerajaan.

“Pinjaman modal perniagaan AIM juga amat membantu kerana digunakan bagi menambah keperluan mesin di kilang bagi menghasilkan pepes dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Kata Junaini, dianggarkan dalam sehari sebanyak 5,000 pepes dihasilkan dan jumlah itu berganda sekiranya menjelang musim perayaan.

“Pepes ini boleh didapati dalam dua saiz iaitu satu kotak berisi 50 pepes dan 100 pepes untuk dihantarkan kepada pelanggan, agen di sekitar Johor dan negeri lain.

“Untuk tempahan, hubungi talian 013-7747404 atau kunjungi Facebook, EJ Frozen Food Expert dan Pepes Warisan Satu Warisan Frozen Food,” katanya.

———————————————————————

PENGUSAHA ternakan Noorzaihan Mohamad Salleh, sudah menjual lebih 300 ekor kambing.

NoorZaihan usaha ternakan kambing

Dengan hanya memiliki 10 ekor kambing pada 2007, NoorZaihan Mohamad Salleh, 51, kini sudah menjual lebih 300 ekor kambing selain turut menternak lembu dan kerbau.

Pengusaha syarikat Cahaya Berlian Enterprise itu berkata, ternakan itu diusahakan bersama suami, Sulaiman Hashim, 48, yang juga penggemar haiwan ternakan.

“Buat masa ini, kandang di ladang saya mampu memuatkan 20 hingga 30 ekor kambing.

“Ternakan kambing diberikan secara fidlot bagi memastikan haiwan yang digunakan untuk ibadah korban terjamin dari semua segi,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Kata Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, selain ternakan kambing dia turut mengusahakan ternakan lembu, kerbau untuk pelanggan sekitar Kedah.

Untuk tempahan, boleh hubungi talian 016-4603360.

——————————————————————————-

SURAYA Sanusi bersama sate dihasilkan olehnya.

Sate komando gamit cita rasa penggemar sate

Nama sate komando, biarpun kedengaran unik, namun ia tidak asing lagi bagi penggemar hidangan itu di sekitar kawasan Sungai Ara, Pulau Pinang.

Pengusaha Restoran Aroy Sinkang, Suraya Sanusi, 56, berkata, sate yang diketengahkan olehnya menawarkan keunikan rasa disebabkan resipi yang digunakan adalah resipi yang diberi oleh bapanya.

Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu berkata, sejak 10 tahun lalu dianggarkan setiap hari lebih 1,000 cucuk sate dihasilkan secara manual namun sejak pandemik Covid-19, jumlahnya agak menurun.

“Sate Komando berasal dari gelaran salah seorang pekerja di kedai makan dan sehingga kini nama samarannya digunakan.

“Keunikan sate komando terletak pada rasa sate yang mewah dengan rempah perap selain isi yang padat. Padanan kuahnya juga membangkitkan selera.

“Satu cucuk sate ayam dijual pada harga RM0.70 dan sate daging pula RM1,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru.

Selain sate, terdapat juga menu lain termasuk yong tau fu dan rojak. Untuk tempahan, hubungi 011-407 74936.

———————————————————————————

Pengusaha pengusaha Syu Anggerik Delicatessen, Shulha Ibrahim menghasilkan aneka pastri dan pemanis mulut.

Shulha hasilkan aneka pastri, manisan

Memulakan perniagaan pastri dan bakeri sejak 12 tahun lalu, pengusaha Syu Anggerik Delicatessen, Shulha Ibrahim, 36, menghasilkan aneka manisan yang menggoda selera penggemarnya.

Kata Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, dia memulakan perniagaan itu secara sambilan kerana bekerja dan mengambil keputusan untuk berhenti pada 2011 bagi memberikan fokus sepenuhnya.

“Saya memang minat dalam dunia pastri. Apabila sambutan jualan yang dilakukan menerusi media sosial memberangsangkan, saya nekad untuk berhenti kerja dan beri tumpuan pada perniagaan.

“Saya memulakan perniagaan dengan menghasilkan apam dan aneka biskut. Kini, Syu Anggerik Delicatessen lebih menumpukan produk seperti dessert dan pastri,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, antara dessert diketengahkan adalah cheese tart, pavlova dan bagi pastri pula sardine puff dan brownies ditempah oleh pelanggan di sekitar Johor Bahru.

“Selain itu, produk dihasilkan juga dihantar ke beberapa hotel, kafe dan kedai sekitar Johor selain mengambil tempahan menerusi media sosial.

“Untuk tempahan, hubungi 016-732 4934 atau kunjungi Facebook, Syu Anggerik Delicatessen, Facebook page Syu Anggerik Delicatessen dan Instagram, Anggerik_Delicatessen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya