PETALING JAYA: Ahli Kumpulan MMC, Northport (Malaysia) Berhad memenangi Anugerah Pengurusan Keselamatan Pelabuhan Terbaik atas inisiatifnya dalam mengekalkan standard amalan keselamatan dan kesihatan yang tinggi di tempat kerja, terutama semasa pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, dalam menguruskan pandemik Covid-19, Northport telah mewujudkan dan melaksanakan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) dengan berkesan bagi memastikan langkah-langkah yang mencukupi disediakan demi kesinambungan operasi dan jaminan perniagaan.
Ujarnya, ia meliputi bidang risiko operasi perniagaan utama seperti aset, kakitangan dan pembekal.
“BCP Northport terdiri daripada langkah-langkah yang perlu diambil dalam menguruskan wabak seperti pengaktifan Pasukan Tindak Balas Krisis, kawalan pintu masuk dari darat dan laut serta pengurusan pengesanan kontak.
“Selain itu, pengurusan PPE, pengaktifan mod operasi berasingan dan penggiliran, komunikasi dan kesedaran, serta pengurusan kerja-kerja nyahkuman turut diutamakan,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengangkutan KiLAT di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya dekat sini semalam.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengangkutan KiLAT adalah acara yang julung kali dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan bagi mengiktiraf syarikat dan individu di dalam industri Pengangkutan dan Logistik di atas pencapaian prestasi yang cemerlang.
BCP telah membantu Northport meminimumkan risiko keselamatan dan kesihatan kepada kakitangannya dan pengguna pelabuhan, dengan memastikan perancangan yang mencukupi disediakan sekiranya jangkitan virus berlaku di dalam terminal serta memastikan pengaturan alternatif dengan pembekal dan pelanggan diwujudkan demi kesinambungan perniagaan Northport.
Memandangkan sektor pelabuhan dikategorikan di bawah perkhidmatan penting yang terus beroperasi 24 jam sehari bagi memastikan ekonomi negara dan pergerakan barangan tidak terganggu, Northport telah meningkatkan usaha untuk memastikan kakitangannya menerima vaksin sepenuhnya pada Jun 2021.
Komitmen Northport terhadap keselamatan dan kesihatan telah diperakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan beberapa pengiktirafan dan anugerah.
Pada April 2019, Northport menjadi pelabuhan Malaysia pertama yang dianugerahkan piawaian ISO 45001:2018. Pensijilan tersebut menzahirkan komitmen Northport dalam mengendalikan perniagaan dan aktivitinya pada tahap tertinggi untuk sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh organisasi.
Prestasi cemerlang syarikat dalam aspek keselamatan dan kesihatan telah memberikan mereka anugerah berprestij, termasuk Anugerah Perak Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) pada 2016 dan Anugerah Emas pada 2017 dan 2018.
Pada 2020, Northport telah dianugerahkan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan dalam kategori Perkhidmatan Perniagaan atas usaha dan komitmennya dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan kakitangan Northport di tempat kerja dilindungi. -UTUSAN