PETALING JAYA: mySalam melalui syarikat Great Eastern Takaful Berhad (GETB) menjulang kejayaan mereka selepas tiga tahun membantu rakyat negara terutama golongan B40 dengan menyediakan perlindungan takaful kepada golongan tersebut bagi melindung diri apabila musibah menimpa.
Ketua Skim mySalam, Khairul Anuar Che Yeop berkata, skim perlindungan takaful tersebut ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan untuk memberi kesedaran dan bantuan kepada orang ramai atau khususnya penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Menurutnya, bagi tahun ketiga, skim perlindungan itu menerima peningkatan drastik selepas pelbagai manfaat diperkenalkan yang memberi pelbagai kebaikan yang boleh diterima oleh masyarakat khususnya ahli mySalam sendiri.
“Jumlah ahli mySalam yang menerima manfaat pada tahun 2019 adalah 5,384 manakala pada tahun 2020 pula adalah sebanyak 80,931 dan bagi tahun ini setakat November, mySalam berjaya membantu ahlinya yang berjumlah 310,000.
“mySalam juga menjadi skim pertama yang menggunakan sistem operasi robotik bagi mempercepat proses bayaran kepada ahli. Jika dahulu sehari kami boleh bayar dalam RM400,000 sahaja tetapi sekarang mencecah satu juta ringgit,” katanya semasa ditemui oleh Utusan Malaysia.
Skim mySalam merupakan sebuah inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan diberikan kerajaan secara percuma bertujuan memberikan perlindungan takaful kepada individu-individu yang layak menerima manfaat skim tersebut melalui Tabung Amanah mySaham.
Skim tersebut menyasarkan tiga kumpulan daripada golongan B40 dan juga penerima BPR, bagi individu berumur antara 18 hingga 65 tahun dan pasangan, individu bujang berumur antara 40 hingga 65 tahun dan individu Orang Kelainan Upaya (OKU) berumur antara 18 hingga 65 tahun serta berpendapatan rendah iaitu kurang daripada RM24,000 setahun.
Khairul Anuar berkata, pelbagai manfaat disediakan seperti pampasan kemasukan hospital, sekiranya ahli mySalam ditahan wad, mereka akan menerima pampasan sebanyak RM50 untuk satu malam dan maksimum pampasan itu boleh diperoleh adalah 14 hari untuk satu tahun.
“Sebagai contoh jika ahli mySalam mengalami cirit-birit dan ditahan dalam wad selama tiga hari, mereka hanya perlu bawa nota discaj ke kios mySalam yang juga boleh dikunjungi di hospital-hospital awam seluruh negara dan boleh juga dibuat dalam talian,” katanya.
Selain itu, mySalam juga meningkatkan perlindungan penyakit kritikal kepada ahli-ahlinya iaitu daripada 36 penyakit pada tahun sebelumnya, kini skim takaful tersebut melindungi sebanyak 45 penyakit kritikal.
“Perlindungan ini merangkumi penyakit kanser, jantung, pembedahan otak dan sebagainya.
“Jika ahli mySalam didiagnos salah satu daripada 45 penyakit tersebut, mySalam akan membuat pembayaran tunai RM8,000 sekali seumur hidup dan mendapat pampasan kemasukan hospital maksimum 14 hari,” jelasnya.
Seterusnya, bermula 1 April lalu, skim takaful itu juga menawarkan bantuan peralatan perubatan seperti alat bantuan pendengaran, alat pacu jantung dan pelbagai alat lain yang membantu ahli mySalam menjalani hidup dengan lebih baik.
“Namun, bantuan ini hanya tertakluk kepada bantuan alatan yang disenaraikan.
“Bermula pada tahun hadapan iaitu 1 Januari 2022, manfaat ini akan diluaskan kepada anak-anak ahli mySalam yang memerlukan bantuan peralatan perubatan,” ujarnya.
Tambahnya, beliau berharap lebih banyak masyarakat sedar akan bantuan ini kerana pelbagai manfaat akan dibawa bagi mensejahterakan hidup masyarakat kerana skim tersebut tidak memerlukan bayaran, individu layak hanya perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja.
Bagi sebarang maklumat lanjut, lawati 141 kios mySalam di seluruh negara, hubungi 1-300-888 938, layari www.mysalam.com.my atau emelkan soalan kepada [email protected]. Orang ramai juga boleh mengikuti maklumat berkenaan mySalam di laman Instagram rasmi @mysalamb40. – UTUSAN