Memastikan survival usahawan desa - Utusan Malaysia

Memastikan survival usahawan desa

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BAGI memastikan survival usahawan luar bandar supaya dapat terus bertahan dalam situasi ekonomi mencabar akibat pandemik Covid-19, maka bidang keusahawanan menjadi salah satu fokus dalam perkhidmatan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menjelas perkara itu, Menteri berkenaan, DATUK SERI MAHDZIR KHALID berkata, keseluruhan program yang dibuat boleh dirangkumkan sebagai pembangunan perniagaan, kemudahan pembiayaan, pembangunan produk dan jaringan pasaran.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Kuala Lumpur baru-baru ini, Mahdzir menegaskan, penekanan juga adalah kepada pengawasan apabila pihaknya akan melihat kad laporan prestasi usahawan setiap enam bulan bagi memastikan mereka benar-benar boleh berjaya.

Dalam pada itu, Timbalan  Menteri 1, DATUK SERI ABDUL RAHMAN MOHAMAD pula memberitahu, kementerian itu turut tidak pernah melupakan bidang pendidikan yang jelas terbukti apabila agensinya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini mempunyai 344 institusi pendidikan di bawahnya dengan jumlah keseluruhan 1.04 juta pelajar.

UTUSAN: Boleh jelaskan mengenai program keusahawanan KPLB?
MAHDZIR: Apabila keusahawanan menjadi salah satu teras, kena ada program untuk usahawan di luar bandar. Pertama, untuk mengembangkan perniagaan. Mereka tidak cukup modal, kita bagi modal. Kemudian mereka tidak cukup kemahiran, kita buat latihan semula dan peningkatan kemahiran supaya mereka menjadi lebih pandai.

Kedua, bagi membantu mereka yang hendak memulakan perniagaan kecil-kecilan dan ingin mendapat pembiayaan kredit mikro bagi membeli peralatan perniagaan.

Ketiga,sekarang ini orang bercakap Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan digital. Maknanya, kita hendak juga meluaskan pemasaran dengan membangunkan kumpulan usahawan e-dagang.

Kita kena kenal pasti kumpulan mana yang nak kita buat, kemudian kena ada program latihan, selepas itu pembiayaan dan kemudian pemantauan. Sekarang ada portal Desamall@KPLB di bawah Mara. Jadi kita kena bangunkan dan tambah baik platform ini.

Apakah program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)?
Pada 2022, KPLB dan juga agensi telah merancang beberapa program termasuklah Program Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0), Program Usahawan Bergerak, Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) dan juga Program Outreach Usahawan@ KPLB.

Selain itu, kementerian turut menyediakan program bagi membantu belia-belia luar bandar untuk memulakan perniagaan iaitu Program Start Right @ KPLB (PSR@KPLB). Kementerian turut melaksanakan program Rural Business Outlet (RBO@KPLB) bagi membantu meluaskan pemasaran produk-produk usahawan luar bandar.

Pada tahun hadapan, kementerian turut bercadang mengadakan Karnival Usahawan Desa bagi membantu meningkatkan hasil jualan produk usahawan. Program-program ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 usahawan mikro luar bandar melibatkan peruntukan sebanyak RM15.3 juta.

Apakah bantuan dana yang diberikan?
Kementerian melalui Program SPKLB menawarkan pemberian geran padanan dengan nilai 70:30 di mana usahawan perlu menyediakan komitmen sebanyak 30% daripada jumlah permohonan dan baki 70% adalah daripada geran kerajaan.

Pelaksanaan program ini melibatkan pemberian geran minimum berjumlah RM20,000 dan maksimum sebanyak RM100,000 bagi setiap usahawan. Ia disasarkan kepada usahawan luar bandar yang komited ingin mengembangkan perniagaan melalui penggunaan teknologi dan inovasi namun kekurangan modal untuk meningkatkan keupayaan keluaran dan perkhidmatan. Ia adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarakat luar bandar melalui program keusahawanan.

Selain itu, kementerian di dalam inisiatif untuk membantu usahawan bangkit semula dan memerlukan dana yang lebih besar bagi mengembangkan perniagaan, turut menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM250,000 di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) melalui bank pelaksana iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) dan SME Bank.

Istimewanya kemudahan pembiayaan ini jika dibandingkan dengan skim pembiayaan yang lain adalah KPLB menawarkan muqasah atau rebat 30% kepada peminjam yang mempunyai rekod bayaran yang baik (good paymaster).

Boleh jelaskan tentang SPKLB Re-Start?
Program ini telah dilaksanakan dengan mengambil kira keluhan usahawan yang terjejas akibat penularan Covid-19 dengan pemberian geran berdasarkan had maksimum RM3,000 – RM5,000 dengan tujuan untuk membantu usahawan memulakan semula perusahaan yang terjejas sepanjang pendemik. Ia merupakan salah satu inisiatif di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari.

Keutamaan diberikan kepada usahawan yang memerlukan bantuan geran untuk menyuntik semula perniagaan yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19. Bantuan yang diberi juga diharapkan dapat membantu seberapa segera yang boleh dalam meningkatkan jualan usahawan dan menjana pendapatan.

Program AKM 100 Hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 hingga 12 Disember lalu telah berjaya menarik sebanyak 150 permohonan geran SPKLB Re-Start bagi membantu usahawan memulakan semula perniagaan yang terjejas. Sehingga 14 Disember lalu, seramai 400 usahawan telah menerima manfaat dengan nilai geran sebanyak RM1,920,350.

Boleh komen mengenai PSR@KPLB?
Ia memberi peluang kepada belia luar bandar yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) terutamanya yang tinggal di daerah terpinggir yang menunjukkan kecenderungan, minat dan kesungguhan untuk menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan.

Ia merangkumi program berbentuk kursus keusahawanan dan coaching (bimbingan) serta geran bantuan peralatan bagi membantu golongan sasar melalui pendedahan awal untuk menjadi usahawan dan seterusnya memberi peluang kepada belia luar bandar yang mempunyai asas kemahiran dalam bidang tertentu untuk berkecimpung dalam dunia keusahawanan.

Bukan sahaja setakat kursus keusahawanan, kita kena bagi kursus motivasi. Kita bercadang setiap enam bulan kita akan panggil usahawan untuk tengok kad laporan apa yang terjadi kepada perniagaan. Setahun dua kali kita buat pengawasan dan tengok juga setahun selepas itu.

Seramai 50 peserta PSR@KPLB telah dipilih pada tahun ini dan telah menjalani kursus keusahawanan pada 27-30 November lalu di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Melaka. Pada 2022, program ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 150 usahawan melibatkan peruntukan RM1.5 juta

Bagaimanakah mengurangkan kadar migrasi yang tinggi dalam kalangan anak-anak muda ke bandar?
Kita melaksanakan Program Rural Business Challenge (RBC) 2.0 dengan matlamat mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. Selain itu, objektif program ini juga dapat menggalakkan belia khususnya di luar bandar memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan seterusnya mewujudkan kawasan luar bandar yang menarik untuk didiami.

Program RBC 2.0 ini adalah berorientasikan keusahawanan, khas untuk belia dengan menggunakan pendekatan pertandingan rancangan perniagaan bagi memilih usahawan belia untuk bersama-sama memajukan ekonomi luar bandar. Usahawan yang berjaya akan dipilih sebagai pemenang pertandingan dan bakal menerima geran berjumlah sehingga RM1 juta.

Setakat hari ini, jumlah pemenang sehingga 2017 adalah seramai 209 usahawan dengan nilai geran keseluruhan sebanyak RM77.06 juta.

 

Wujud ekosistem pendidikan lengkap

ABDUL RAHMAN MOHAMAD

UTUSAN: Apakah perkembangan terkini pendidikan melalui Mara?
ABDUL RAHMAN: Mara mempunyai 344 institusi pendidikan dengan 1,048,707 pelajar. Di peringkat pendidikan menengah, ada 53 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Selain itu, Mara telah menjayakan 53 tahun Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan telah melahirkan seramai 861,854 graduan sejak 1966 hingga 2020 di dalam bidang profesional dan tenaga kerja mahir negara.

Institut Kemahiran Mara (IKM) telah berkembang dan kini mempunyai 14 kampus di seluruh negara. Manakala, program yang berfokus kepada teknologi tinggi yang dipacu oleh Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) kini berjumlah 11 buah termasuk Mara-Japan Industrial Institute (MJII).

Institusi-institusi Mara kini memberi tumpuan dalam pelbagai bidang pengkhususan di bawah 12 kluster pengajian meliputi automotif, alam bina, awam, bioteknologi, elektrik, elektronik, kejuruteraan bioperubatan, minyak dan gas, mekanikal servis, mekanikal pembuatan, pemprosesan bahan serta seni dan reka bentuk.

Mara juga mempunyai tujuh Kolej Profesional Mara (KPM) yang menawarkan program-program peringkat diploma dan separa profesional. Selain itu, di bawah anak syarikatnya, Mara mempunyai Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Kolej Universiti Poly Tech MARA (KUPTM) dan German Malaysia Institut (GMI) yang menawarkan pengajian di pelbagai peringkat bermula dengan sijil sehingga ke peringkat profesional.

Bagaimana pula pendidikan belia luar bandar?
GiatMara merupakan satu platform yang bertepatan dalam menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada belia-belia di luar bandar. Ini bagi membolehkan mereka mendapat kemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal yang dapat memenuhi keperluan industri dan keperluan kegiatan ekonomi serta keusahawanan di daerah setempat dan dalam negara.

Manakala bagi kema­sukan ke Institusi yang saya sebutkan tadi, akan dibuka mengikut kalendar akademik tahunan dan kebia­saannya kita akan iklankan dua kali setahun. Jadi saya menyeru kepada belia-belia dan pelajar-pelajar untuk merebut peluang yang disediakan bagi meningkatkan ekonomi keluarga dan seterusnya menyokong ke arah pembangunan negara.

Apa bentuk pinjaman pelajaran yang diberikan?
Sejak 1966, Mara telah menaja seramai lebih daripada 1.445 juta pelajar. Bagi 2021, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion di bawah program pinjaman yang bakal memberi manfaat kepada lebih 50,000 orang pelajar dan setakat hari ini, Mara telah menaja seramai 57,351 orang pelajar dalam dan luar negara yang terdiri daripada 52,556 pelajar dalam negara dan 4,795 pelajar di luar negara melibatkan program pinjaman pelajaran Mara peringkat siswazah (YTP), TESP, STEP dan pasca siswazah (GREP & Pro-P).

Mara akan meneruskan dasar sedia ada dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang status sosio­ekonominya rendah serta menumpukan penajaan pelajaran dalam bidang strategik dan kritikal bagi mengisi keperluan modal insan negara.

Bagaimana pula bagi melestarikan pendidikan arus perdana pelajar Orang Asli?
Dalam Bajet 2022 telah diumumkan peruntukan kepada komuniti Orang Asli sebanyak RM274 juta yang antaranya bagi melaksanakan Program Peningkatan Taraf Hidup Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 Orang Asli.

Untuk tahun hadapan, kerajaan akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah daripada RM2 kepada RM4 sehari seorang mengikut jumlah hari hadir ke sekolah. Kenaikan ini sebagai satu galakan kepada murid-murid Orang Asli hadir ke sekolah dan seterusnya membantu mengurangkan kadar keciciran.

Sehingga kini, terdapat 1,089 pelajar yang ditaja oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi pengajian tertiari dalam nega­ra dan 41 orang di luar negara da­lam pelbagai peringkat dan bidang pengajian termasuk doktor falsafah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya