KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aspirasi kerajaan adalah untuk terus bekerja bersama rakyat melalui pelan jangka sederhana bagi tempoh enam bulan dan juga sasaran jangka panjang.
Malah, kata Perdana Menteri, kerajaan peka terhadap keluhkesah rakyat terutama ketika peningkatan harga barang yang naik mendadak.
Justeru, bagi menanganinya, kerajaan telah mengambil tindakan segera mengawal harga dengan memperkenalkan skim kawalan harga maksimum barang keperluan dan Jualan Murah Keluarga Malaysia dengan diadakan di setiap kawasan Parlimen bermula 4 Disember lalu.
“Kerajaan juga telah meluluskan RM262 juta sebagai insentif tambahan untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi petani.
“Mengambil kira analisis sentimen rakyat yang telah dilaksanakan terhadap ahli Jemaah Menteri dan kementerian, setiap pandangan dan luahan rakyat mesti didengari serta diambil kira untuk menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan.
“Umpama ‘memerah nyiur, santan diambil, hampas dibuang’. Inilah janji saya kepada Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebanyak 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari tersebut dengan melibatkan 31 menteri daripada lima kluster, iaitu Kluster Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.
Pada 24 September lepas, beliau memuktamadkan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari yang diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50%), Penilaian Prestasi Menteri (25%) dan Persepsi Awam (25%) terhadap menteri dan kementerian.
Menurutnya, seramai 190,914 ahli Keluarga Malaysia terlibat dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (Mampu) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian.
“Usaha ini merupakan permulaan bersejarah kerana penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian kerajaan.
“Saya berharap, lebih ramai lagi Keluarga Malaysia memberikan pandangan melalui pelbagai mekanisme penambahbaikan, bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN