PETALING JAYA: Sunway Property telah merekodkan jualan sebanyak RM553 juta dalam masa dua bulan hasil daripada kempen Always With You 2021 yang menampilkan lima pembangunan terbaharunya yang direka khas untuk kehidupan norma baharu.
Lima projek pembangunan yang mengambil bahagian dalam kempen itu ialah Sunway Serene, Sunway Velocity TWO, Sunway Belfield, Sunway Artessa dan Sunway d’hill Residences.
Itu menjadikan jualan pemaju hartanah tersebut hampir kepada sasaran jualannya sebanyak RM2.2 bilion.
Sunway Property telah menyemak semula sasaran jualannya kepada RM2.2 bilion tahun ini, selepas melepasi sasaran jualan awal sebanyak RM1.6 bilion pada separuh pertama tahun ini.
Pengarah Eksekutif Wilayah Tengah, Chong Sau Min berkata, semua pelancaran baharu itu menggabungkan reka bentuk mampan dengan bangunan yang lebih berkualiti, disokong oleh kemudahan gaya hidup serta memberikan penjimatan kos tenaga dan air.
“Kejayaan kempen itu didorong oleh minat baharu terhadap rumah yang mengutamakan kesejahteraan kerana perubahan pilihan pengguna akibat pandemik Covid-19 dan reka bentuk kempen itu yang memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik rumah baharu.
“Setiap pembangunan terletak di lokasi strategik dengan reka bentuk bernas dan ciri-ciri norma baharu termasuk lobi pengudaraan semula jadi, ruang kerja bersama dan ciri lain untuk kehidupan mampan dengan harga mampu milik bermula dari RM525,000.
“Kami juga mengutamakan pengudaraan semula jadi dengan cahaya matahari dan pemandangan luar yang indah,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, setiap pembangunan dilengkapi dengan banyak kemudahan yang berfungsi sebagai ruang bersenam.
Kempen tersebut berlangsung dari 15 Oktober dan akan berakhir pada 31 Disember 2021. Pembeli akan dapat memanfaatkan sehingga 12 bulan pembayaran tanpa faedah untuk penjimatan sehingga RM23,000.
Pilihan untuk keluar juga disediakan sebagai jaring keselamatan sekiranya kehilangan pekerjaan, hilang upaya atau menghidap penyakit kritikal untuk tempoh 12 bulan dari tarikh tempahan, tertakluk kepada terma dan syarat yang berkenaan.
Selain daripada tawaran itu, sempena Kempen Pemilikan Rumah yang berakhir pada 31 Disember 2021, pemilik rumah baharu akan menikmati pengecualian Memorandum Pemindahan (MOT) dan penjimatan duti setem pinjaman sehingga RM32,000.
Sepanjang tempoh kempen itu, pembeli juga berpeluang untuk memenangi hadiah mingguan bernilai RM63,888 termasuk kipas, vakum Dyson, TV pintar Panasonic dan ketuhar. -UTUSAN