LANGKAWI: Kebanyakan pemain industri pelancongan di pulau peranginan ini menganggap keputusan kerajaan melaksanakan gelembong pelancongan Langkawi pada 16 September lalu sebagai ‘talian hayat’ setelah mereka hampir lumpuh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.
Pengarah Motel Melati Tanjung, Pantai Chenang di sini, Raniza Ahmad berkata, tempahan bilik yang diterima hotelnya mula meningkat pada 16 September lalu dan penuh pada Disember ini.
Menurutnya, setakat ini, secara purata dia menerima tempahan bilik sebanyak 40 peratus daripada 90 bilik yang ada di hotelnya pada hari biasa dan jumlah tersebut meningkat kepada hampir 70 peratus pada hujung minggu.
“Kami baru sahaja mampu membayar semula tunggakan kepada kontraktor untuk bangunan yang disiapkan sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan kerana mula menerima tempahan bilik.
“Kalau kerajaan tidak membuka semula industri pelancongan dan larangan rentas negeri terus dikuat kuasa ketika itu, mungkin kami tidak dapat bangkit semula seperti sekarang kerana simpanan perbelanjaan sudah habis,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada masa sama, Raniza menambah, dia mengharapkan kerajaan tidak menutup sektor pelancongan di pulau ini kerana telah mengeluarkan modal yang tinggi bagi menyelenggara dan membersihkan hotel yang hampir sembilan bulan ditinggalkan sejak Januari lalu.
Bagi pemilik Restoran Selera Padang Putih, Md. Zainal Md. Saad, 43, pula pelanggannya bertambah lebih 70 peratus sejak gelembung pelancongan dilaksanakan berbanding semasa PKP sebelum ini.
Dia yang juga bekas pekerja sebuah hotel lima bintang di sini memulakan perniagaan restorannya pada Januari lalu, setelah diberhentikan daripada hotel tersebut pada Disember tahun lalu.
“Apabila industri pelancongan dibenarkan beroperasi, saya kembali menerima pelanggan yang juga terdiri daripada pekerja hotel.
“Apabila pelanggan mula ramai, saya mula menambah menu nasi campur kepada 20 jenis lauk berbanding hanya lapan sebelum gelembung pelancongan dilaksanakan,” ujarnya.
Seorang pengusaha kereta sewa, Abd. Rashid Hisham, 64, dari syarikat agensi pelancongan, Tiara Holiday Sdn. Bhd., memberitahu, hampir kesemua 86 buah kenderaan pelbagai jenis ditempah oleh pelancong sejak pelancaran gelembung pelancongan di pulau ini.
Bagaimanapun, katanya, kenderaan tersebut tersadai di kawasan letak kereta miliknya kerana ketiadaan pelancong berikutan larangan rentas negeri pada awal tahun ini.
“Selepas gelembung pelancongan dilaksanakan dan kerajaan membenarkan rentas negeri, sektor pelancongan di pulau ini kembali rancak dan meriah,” katanya. – UTUSAN