PETALING JAYA: Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) (GDRN) yang terdiri daripada 13 GLC dan GLIC berjaya mengumpul RM54.4 juta bagi membantu mangsa banjir.
GLIC dan GLC yang telah menyumbang itu termasuklah Celcom Axiata Berhad, Kumpulan CIMB dan Yayasan CIMB, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad dan Yayasan Hasanah, Petronas dan Yayasan Petronas, Tabung Haji, Telekom Malaysia (TM) dan Yayasan TM, Yayasan Sime Darby serta Yayasan UEM.
Sekretariat bersama GDRN, yang dipimpin oleh Yayasan Hasanah dan Yayasan TM berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Kewangan atas geran kerajaan sebanyak RM25 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kolektif itu kepada RM79.4 juta.
“Itu sudah tentu akan memberi impak dan sokongan terhadap usaha kami untuk mencapai lebih ramai orang yang memerlukan menerusi pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta menghulurkan bantuan secara terus kepada masyarakat.
“Kami sedar banjir telah memberi impak kepada rumah, pekerjaan dan kehidupan orang ramai. Gabungan GDRN membolehkan kami menyelaraskan usaha bagi memastikan bantuan tiba dengan pantas.
“Kami berterima kasih kepada rakan kongsi GDRN kerana memberi tindak balas yang cepat dan sumbangan yang banyak setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
GDRN ditubuhkan pada 2013 melalui Jawatankuasa Putrajaya untuk Prestasi Tinggi GLC (PCG) dengan Khazanah Nasional sebagai sekretariatnya.
Rangkaian tersebut pernah aktif untuk pelbagai kerja bantuan dan pembangunan semula sekitar sejak 2013 terutamanya semasa banjir besar di Kelantan pada 2014 serta pandemik Covid-19 baru-baru ini.
Dana RM79.4 juta itu diperuntukkan untuk bantuan kecemasan dan keperluan pemulihan untuk keluarga dan komuniti yang terjejas akibat banjir yang melanda di seluruh Malaysia.
Ia akan disalurkan terus kepada keluarga dan masyarakat yang terkesan akibat banjir, pusat pemindahan sementara dan masyarakat yang bekerja di lokasi banjir untuk membantu orang yang sedang menghadapi krisis itu.
Dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Hab Koordinasi dan Tindakan Kemanusiaan Malaysia (MATCH), GDRN mula memantau situasi banjir sejak 17 Disember 2021. -UTUSAN