KEPUTUSAN untuk beralih dari bidang andaman kepada kudap-kudapan, Peria Crispy, memberikan pulangan lumayan lebih lagi apabila negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun lalu.
Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Aelis Malina Ahmad, 43, tidak menjangka perniagaan Peria Crispy yang diusahakan pada awal Januari 2020 mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan pelanggan.
Katanya, kudap-kudapan itu dihasilkan menggunakan tepung khusus untuk memberikan kerangupan dengan dua perisa iaitu Peria Crispy Pedas dan Peria Crispy Original bahkan mendapat sambutan dalam kalangan ibu berpantang.
“Setiap minggu, hampir 35 kilogram (kg) peria diperlukan untuk menghasilkan Peria Crispy bagi diedarkan di sekitar kawasan Johor, ejen dan pelanggan dalam talian.
“Saya juga mengha silkan sendiri Serunding Halia Ikan bilis, Bawang Putih Crispy, Membawang Mix menggunakan bawang putih, ikan bilis, cili kering dan bawang ros serta tepung serbaguna untuk memberikan rasa tersendiri.
“Saya turut menghasilkan kuih siput Legend yang lembut dan ia juga mendapat sambutan menjelang musim perayaan,” katanya ketika dihubungi, barubaru ini.
Katanya, Peria Crispy dijual pada harga RM12 (200 g) dan Serunding Halia Ikan bilis; Bawang Putih Crispy; Membawang Mix berharga RM13 hingga RM15 bagi setiap 150 g.
Untuk tempahan, kunjungi Facebook dan Instagram by_amar_kitchen atau hubungi 012-7586119.
———————————————————————–
Keunikan keropok berasaskan isi kupang
KEDUDUKAN Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, Johor, yang dikenali menerusi penternakan kupang membolehkan Rosmah Saim, 52, tampil memperkenalkan keropok Crunchy Mussel Crackers yang cukup unik.
Menerusi jenama Keropok Kupang Warisan INR, Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ini, mengusahakan keropok berasaskan isi kupang yang membawa kepada nilai komersial luar biasa.
“Keropok kupang dihasilkan sekitar 2017 itu tidak asing lagi dalam kalangan penduduk tempatan dan sering menerima tempahan.
“Proses pembuatan keropok kupang tidak jauh berbeza dengan keropok ikan cuma rasa keropok ini berbeza,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, selain keropok kupang siap goreng dia juga menyediakan keropok kupang mentah untuk pelanggan.
Untuk tempahan, boleh hubungi 016-7052904 atau Facebook Rosmah Saim.
————————————————————————-
Perniagaan Asyraf Gemilang Food dapat sambutan
BIJAK menyusun langkah berdepan dengan cabaran ekonomi, pengusaha kerepek, Halimah Ra e, 51, mula memperkenalkan jualan buahbuahan tempatan yang kini sedang hangat dalam pasaran tempatan.
Akui Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, perniagaan kerepek pisang dan ubi dikendalikan sejak 19 tahun bagaimanapun terpaksa dihentikan memandangkan permintaan kurang sejak tahun lalu.
“Saya mula beralih dengan jualan pisang dan ubi mentah apabila ramai pelanggan yang ingin membeli bahan itu berbanding kerepek sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
“Setiap hari, lebih satu tan pisang dan ubi diambil dari kebun untuk diedarkan kepada pembeli dan pemborong di sekitar kawasan Johor,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Kata Halimah yang juga pemilik perniagaan Asyraf Gemilang Food, perniagaan alternatif itu mendapat sambutan memuaskan bahkan dia mula menjual buah-buahan tempatan yang diambil dari kebun sekitar Kampung Sungai Tiram, Johor.
Untuk tempahan, kunjungi Facebook, Halimah Azman dan Instagram, Halimah.kerepek atau hubungi 019-6937916.
——————————————————————–
Keenakan sate Hani Satay jadi sebutan
SEBUT saja Hani Satay, pasti masyarakat di sekitar Kluang, Johor, sudah sinonim dengan keenakan sate yang disediakan di Kedai Kak Esah Taman Emas, di sini.
Pengusaha Hani Satay, Hanisah Ibrahim, 60, berkata dia juga menjalankan operasi kilang memproses sate sejuk beku bagi memenuhi permintaan pasaran bagi 13 kedai pengedar bahan mentah di sekitar Batu Pahat dan Kluang, Johor.
Kata Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, hidangan yang diketengahkan olehnya sejak 25 tahun lalu mula mendapat sambutan kerana kepadatan rasa sate yang dihasilkan.
“Setiap hari sebanyak 10,000 hingga 12,000 sate mentah dari daging ayam, lembu dan kambing dihasilkan dengan purata pendapatan lebih RM40,000 sebulan.
“Saya juga mempunyai 13 pekerja di kilang Hani Satay yang diberikan tugasan tersendiri bermula dari memotong daging, mencucuk, memasak kuah dan lain-lain untuk memastikan proses penghasilan sate mentah berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Untuk tempahan lanjut, pelanggan boleh hubungi 017-6255916 atau datang terus ke Kedai Kak Esah Taman Emas, Kluang, untuk menikmati keenakan Hani Satay. – UTUSAN