PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah membuka mata orang ramai tentang kepentingan mencarum insurans atau takaful sekali gus menjadikan ia sebagai ‘keperluan asas’ yang harus dimiliki dalam menjamin kesihatan serta keselamatan diri dan insan tersayang dalam jangka masa panjang.
Ia diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail apabila penyertaan takaful daripada syarikat itu melonjak kepada 1.5 juta pelanggan pada tahun ini berbanding 1.2 juta pelanggan pada tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut jelas membuktikan bahawa orang ramai risau dengan penambahan mendadak kes Covid-19 sehingga hospital kerajaan tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang tinggi selain kebimbangan untuk membayar bil hospital swasta sekiranya tiada bantuan simpanan yang kukuh.
Justeru, orang ramai memilih untuk mencarum insurans atau takaful sebagai perlindungan semasa kecemasan agar mereka sentiasa dilindungi oleh pelan yang terbaik daripada pengendali insurans atau takaful pilihan.
PruBSN sebagai pengendali takaful keluarga pilihan sentiasa berusaha membantu meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung pelanggannya. Kerana itu, syarikat ini menjadi antara pengendali takaful pertama yang menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan Covid-19 termasuk penangguhan bayaran sumbangan selama tiga bulan bagi pelanggan yang terkesan dari segi kewangan.
Malah, syarikat itu juga memperluaskan perlindungan perubatan kepada kemasukan hospital akibat kesan sampingan selepas suntikan vaksin Covid-19. Ini bermakna, pelanggan tersebut boleh sahaja terus ke hospital sekiranya menghadapi kesan sampingan yang serius sementara pihak pengendali takaful akan membayar kos rawatan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.
“Kami juga berbesar hati kerana berjaya memperkenalkan rawatan aktif Covid-19 melalui pelan perubatan sedia ada secara automatik. Kami melancarkan kempen ini bagi membolehkan pelanggan mendapatkan rawatan di hospital swasta dan berharap pelanggan dapat memberi tumpuan dalam aspek lain dalam hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Wan Saifulrizal, PruBSN sentiasa prihatin terhadap masalah atau kekangan pelanggannya dalam tempoh pandemik dengan membolehkan mereka yang terjejas menyelaras semula pelan dengan mengurangkan jumlah sumbangan.
Katanya lagi, syarikat tersebut turut memperkenalkan pelan mampu milik, Pelan Takaful Sakinah pada tahun ini, dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Pelan ini bermula daripada harga RM55 setahun dengan jumlah sumbangan sebanyak RM10,000 jika berlaku kematian selain manfaat khairat kematian sebanyak RM3,500. Jadi, melalui pelan ini, kita percaya semakin ramai golongan yang kurang berkemampuan atau terkesan akibat pandemik dapat mencarum untuk diri dan keluarga yang mereka sayangi.
“Apa yang penting adalah pelanggan masih mempunyai perlindungan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai stigma segelintir masyarakat yang memandang takaful adalah satu pembaziran kerana tidak dimanfaatkan, beliau menjelaskan bahawa orang ramai sewajarnya bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik dan pelaburan ke atas takaful itu boleh digunakan untuk membantu mereka yang ditimpa musibah.
“Oleh kerana itu, kami sentiasa meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan takaful di sekolah, pusat pengajian tinggi (IPT) serta melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memupuk pengetahuan tentang kepentingan takaful pada usia muda.
PENCAPAIAN
15 tahun dalam industri sudah pasti PruBSN banyak mencapai kejayaan yang membanggakan. Antaranya adalah memenangi Anugerah Pengendali Takaful Terbaik untuk Agensi Perniagaan Takaful selama lapan tahun berturut-turut serta Anugerah Kualiti Perniagaan dan CSR Terbaik oleh Persatuan Takaful Malaysia.
Katanya, kejayaan tersebut mustahil dicapai tanpa sokongan warga kerja, pelanggan dan pejuang takaful PruBSN.
“Anugerah ini memotivasikan kami untuk menawarkan lebih banyak lagi penyelesaian perlindungan takaful kepada rakyat Malaysia pada tahun-tahun akan datang. Kita akan terus menambah baik dan berinovasi untuk mengekalkan kedudukan sebagai pengendali takaful nombor satu di Malaysia,” katanya.
Demi terus mencapai kejayaan pada masa akan datang, syarikat pengendali takaful keluarga itu akan terus meneroka solusi yang komprehensif dan bersesuaian termasuk perlindungan hayat, penyakit kritikal dan simpanan bergantung kepada keperluan individu.
Usaha itu akan dicapai melalui pendigitalan yang diperkenalkan melalui Pulse by Prudential. Ia merupakan sebuah aplikasi unik untuk memantau kesihatan dan kecergasan yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sejak dilancarkan pada 2019, aplikasi tersebut mencatatkan 3.2 juta kali muat turun dan kini ia tersedia di seluruh paparan di Asia yang melebihi 31 juta muat turun yang bukan sahaja memberi akses kepada pelbagai pelan perlindungan tetapi untuk mendapatkan maklumat kesihatan sambal menghubungkan komuniti.
Selain itu, PruBSN juga memperkenalkan ekosistem syariah melalui Pulse iaitu PRUIman untuk pengguna mencapai inspirasi gaya hidup Islamik.
“Pelan ini merupakan kelainan yang dibawa oleh kami berbanding agensi insurans lain dan kami menjadi peneraju industri takaful dalam landskap digital.
“Untuk masa akan datang, kami akan terus mencari pelanggan dan akan turut berinovasi dalam memberikan pelbagai solusi komprenhensif,” ujarnya.
Jelasnya, ia boleh dicapai dengan beberapa kelebihan yang dimiliki syarikat yang merupakan rangkaian agensi dan pengedaran terbesar dalam kalangan pengendali takaful selain memiliki lebih 17,000 agensi, 30 cawangan dan tiga rangkaian perbankan untuk mencapai sebanyak mungkin pelanggan baharu.
“Kita akan menumpukan kepada tiga fokus utama dalam menjangkau lebih ramai rakyat untuk melanggan pelan dan penyelesaian takaful melalui pelbagai rangkaian daripada ejen kepada platform digital yang ada selain terus berinovasi dalam solusi untuk memberi perlindungan takaful sejajar dengan keperluan pelanggan serta memberi pengalaman terbaik bukan sahaja dari segi pendigitalan tetapi menambah baik proses untuk syarikat menjadi lebih mesra pelanggan”. katanya. – UTUSAN