Inisiatif YWP, TNB melalui Baiti Jannati Keluarga Malaysia
PETALING JAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah bekerjasama untuk memberikan unit kediaman kepada 38 keluarga miskin tegar menerusi inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia.
Program itu untuk membantu penyewa miskin tegar yang tinggal di Projek Perumahan (PPR) dan Perumahan Awam DBKL (PADBKL) memiliki rumah sendiri yang lebih selesa dan kondusif tanpa perlu membayar sewa bulanan DBKL.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, menerusi inisiatif tersebut, TNB telah memberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta wang zakat untuk dimanfaatkan kepada 30 keluarga Islam miskin tegar dan manakala sumbangan YWP sebanyak RM400,000 telah diberikan kepada lapan penyewa miskin tegar bukan Islam di PPR atau PA DBKL untuk memiliki unit kediaman sendiri.
“Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pemilik dengan syarat unit tersebut tidak boleh dijual dan hanya boleh diberikan kepada waris terdekat.
“Di samping memberikan hak milik, unit rumah tersebut turut dibaik pulih dan dilengkapi dengan barangan elektrik asas mengikut keperluan semasa keluarga miskin tegar tersebut dengan anggaran kos sebanyak RM30,000 hingga RM60,000.
“Sejak 2016 sebanyak 337 unit rumah telah diserahkan kepada penerima yang layak. Program itu diharap dapat membantu golongan miskin tegar dan meningkatkan kualiti hidup mereka melalui pemilikan rumah kediaman yang selesa di Wilayah Persekutuan, selari dengan matlamat kami Our City, Our Home,” katanya dalam ucapan pada majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati Keluarga Malaysia TNB 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada tahun depan, KWP menyasarkan untuk membantu 50 lagi keluarga miskin tegar memiliki kediaman menerusi inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia dalam memastikan kesejahteraan sosial dan keselesaan kehidupan rakyat sentiasa diutamakan dari semasa ke semasa.
PROJEK MESRA RAKYAT
Sementara itu, Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, seramai 30 orang di Wilayah Persekutuan ini menerima rumah Baiti Jannati Keluarga Malaysia pada tahun ini. Ia adalah melalui dua inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB yang sudah dimulakan sejak 2007, iaitu Projek Baiti Jannati (PBJ) – Rumahku Syurgaku dan Projek Mesra Rakyat (PMR).
“Ia bukan sahaja dilaksanakan di Wilayah Persekutuan tetapi juga di seluruh Semenanjung. Ia sejajar dengan saranan kerajaan supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), membantu kerajaan membaiki rumah kediaman golongan yang memerlukan, agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.
“Bagi Projek Baiti Jannati, ia melibatkan kerja-kerja membaik pulih, membina baharu atau membiayai pembelian rumah-rumah golongan miskin dan asnaf yang terpilih, yang antaranya meliputi ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin bandar dan luar bandar (Golongan B40).
“Sejak diperkenalkan pada 2007, sebanyak 879 buah rumah sudah dibaik pulih, dibina baharu atau dibiayai pembeliannya di seluruh Semenanjung melibatkan belanja lebih RM39.22 juta,” katanya.
Beliau menjelaskan, sumber dana bagi pelaksanaan projek tersebut menggunakan wang zakat perniagaan tahunan TNB yang dikembalikan Majlis Agama Islam Negeri.
Katanya, di peringkat Wilayah Persekutuan, projek itu telah bermula sejak 2014, termasuk 28 para penerima pada hari ini, seramai 249 orang atau keluarga telah mendapat manfaat dengan nilai berjumlah lebih RM9.97 juta.
Hasan memberitahu, bagi penduduk bukan Islam pula, TNB menyediakan program sama yang dikenali sebagai PMR.
Sejak diperkenalkan pada 2012, sebanyak 214 keluarga bukan Islam dari seluruh negara telah menikmati manfaatnya dengan biaya lebih RM7.34 juta termasuk dua keluarga di Kuala Lumpur pada tahun ini.
Beliau berharap, pemilikan rumah tersebut menjadikan semua penerima lebih gembira, sesuai dengan hasrat TNB untuk menjadikan kehidupan rakyat better dan brighter.
TANGGUNGJAWAB SOSIAL TNB
Dalam pada itu, penerima Rumah Baiti Jannati Keluarga Malaysia, Jamiah Yaacob, 53, berkata, bantuan itu sangat berharga buatnya memandangkan dia merupakan ibu tunggal yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU).
“Sebelum ini, kami tinggal di rumah setinggan dengan kemudahan untuk OKU yang terhad. Saya pula memang tidak bekerja kerana perlu menguruskan dua orang anak, di mana seorang masih belajar dan seorang lagi OKU.
“Alhamdullilah, unit yang diberikan kepada kami itu memang khas untuk OKU di mana ruang yang disediakan agak besar dan selesa.
“Anak saya banyak menggunakan peralatan yang beroda seperti kerusi roda, jadi dengan ruang dan kemudahan yang disediakan lebih mudah untuk saya menguruskan anak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi penerima yang juga OKU, Foo Huey Kuang, 43, berkata, dia dan suami, Lau Cheong Meng, 62, menjual surat khabar dengan pendapatan antara RM600 hingga RM800 (termasuk bantuan kebajikan).
Wang itu digunakan untuk bayar sewa rumah, menyara hidup termasuk seorang anak perempuan berusia 16 tahun yang
sakit jantung sejak dilahirkan.
“Kami adalah OKU. Dengan bantuan ini, kami sudah tidak perlu risau sewa rumah atau dihalau, dan penjimatan itu juga dapat membantu kami untuk pembaikian rumah. Kami betul-betul berterima kasih kepada TNB,” katanya. – UTUSAN