PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus bersama-sama memakmurkan kehidupan rakyat dan mendukung agenda modal insan negara menerusi tajaan biasiswa kepada puluhan ribu pelajar cemerlang daripada golongan berpendapatan rendah (B40) sejak 1993.
Tajaan biasiswa menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu tetap diteruskan dengan peruntukan bernilai jutaan ringgit tahun demi tahun walaupun berdepan situasi mencabar dalam landskap perniagaan akibat Covid-19.
Malah, sejak penubuhannya sehingga Ogos lalu, YTN telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion melibatkan peruntukan dermasiswa My Brighter Future (MyBF) (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar cemerlang melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Inisiatif tersebut amat bermakna kerana menjadi bukti TNB sentiasa bersama-sama rakyat dalam meningkatkan kualiti pendidikan generasi muda seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.
Menurut seorang daripada penerima biasiswa, Terani Tan Guan Yu dari Petaling Jaya, datang daripada keluarga sederhana dan bapa yang telah menjangkau umur persaraan menjadi sebab utama dia memohon biasiswa tersebut.
Ujarnya yang berasal dari Petaling Utama di sini, sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, dia perlu berusaha lebih keras untuk membantu meringankan beban kewangan pendidikan tinggi kepada keluarga.
“Saya agak serius untuk mendapatkan pendidikan tinggi secara percuma kerana saya juga ingin mula menjadi seorang yang lebih berdikari tanpa bergantung kepada wang ibu bapa saya.
“Saya berharap dapat menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat dan negara dengan menjadi jurutera terkenal negara seterusnya membantu meningkatkan kualiti kejuruteraan di Malaysia untuk menjadi antara yang terbaik di dunia,” katanya.
Nur Fatihah Mohd. Nasir yang turut terpilih menjadi penerima biasiswa YTN memberitahu, dia berbesar hati terpilih sebagai penerima biasiswa YTN kerana menjadi sebahagian daripada syarikat bekalan tenaga elektrik terbesar di Malaysia merupakan impiannya sejak di bangku sekolah lagi.
“Berbekalkan biasiswa ini, saya berharap dapat mengurangkan beban keluarga dari segi menanggung perbelanjaan pelajaran saya kerana ayah hanya mengusahakan kebun kelapa sawit di Batu Pahat, Johor.
“Saya juga berharap dapat manabur bakti kepada pihak penaja dan berkhidmat untuk masyarakat sekali gus menjadi aset yang memacu pembangunan negara terutamanya dalam bidang kejuruteraan elektrik kuasa,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Muqry Hasni dari Gombak, Selangor, berkata, selain peluang untuk belajar di luar negara, biasiswa YTN menawarkan banyak faedah merentasi pelbagai aspek kepada penerimanya.
“Saya melihat biasiswa ini sebagai satu platform luar biasa untuk mengembangkan pendidikan profesional dan mempercepatkan pertumbuhan kerjaya saya kerana TNB adalah antara 10 terbaik untuk Majikan Paling Menarik pada 2021,” ujarnya.
Muhammad Azri Akid Mohd. Yusof pula berkata, dia memilih biasiswa YTN kerana yakin mampu menjadi antara jurutera dalam bidang elektrik kuasa negara menerusi platform yang dibekalkan YTN.
“Saya rasa amat bertuah menerima biasiswa YTN kerana saya datang daripada keluarga susah dan tidak mampu untuk membiayai kos pelajaran yang tinggi. Ibu bapa saya juga amat gembira kerana TNB membantu saya mencapai impian untuk menjadi seorang jurutera.
“Saya yakin, saya dan rakan-rakan akan memanfaatkan biasiswa yang diberikan oleh YTN. Dengan prinsip ingin memberikan manfaat kepada orang lain, saya yakin dapat menjadi sebahagian daripada ahli keluarga TNB, seterusnya dapat berkhidmat kepada masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN