RM21 juta wujudkan 7 PSSS tahun depan - Utusan Malaysia

RM21 juta wujudkan 7 PSSS tahun depan

RINA Mohd. Harun melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat di Puchong, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Kerajaan memperuntukan RM21 juta bagi pembinaan tujuh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak yang akan memberikan manfaat khususnya kepada golongan wanita, kanak-kanak, keluarga, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, tujuh lokasi PSSS bergerak itu yang bakal diadakan pada tahun depan adalah di  Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sarawak, Sabah dan Putrajaya.

Menurutnya, kesemua PSSS itu akan memberikan perkhidmatan sosial yang holistik dan menekankan kepada pendekatan seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita cadangkan tiga pusat secara premis di Kelantan, Selangor dan juga Johor dan tujuh secara bergerak. Dalam Bajet 2022 baru-baru ini ada penambahan RM4.5 juta yang akan kita gunakan untuk menambah baik pusat sokongan dan kita akan tambah tiga lagi untuk tahun harapan.

“Ini adalah inisiatif pihak kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara dalam  menyediakan perkhidmatan dari segi psikososial dan menjadi satu pusat di mana rakyat boleh datang PSSS ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan PSSS bergerak di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, di sini semalam.

Tiga premis PSSS dan empat PSSS bergerak itu telah memulakan perkhidmatannya bulan lalu termasuk satu pejabat satelit di ibu negara dengan diperkuatkan kehadiran 111 anggota Skuad Sukarelawan Kaunselor Berdaftar di bawah KPWKM.

Selain memberikan perkhidmatan psikososial, PSSS ini juga menawarkan akses kepada informasi dan perkhidmatan mengenai kaunseling dan intervensi, menggerakkan usaha keseluruhan kerajaan dan masyarakat dalam membendung masalah sosial serta memberikan bantuan kepada pihak memerlukan.

Katanya, PSSS ini juga menjadi tempat rujukan setempat untuk masyarakat mengemukakan sebarang aduan.

Rina berkata, sehingga kini, sejumlah 30 aduan diterima PSSS sepanjang sebulan beroperasi.

“Tidak sampai sebulan, kita telah terima lebih kurang 30 kes, di mana banyak isu berkaitan faktor emosi dan tekanan akibat ekonomi. Permasalahan ini akan diselesaikan secara holistik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya