KUALA LUMPUR: Pfizer Malaysia dan Bumitra Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kempen kesedaran penyakit pneumokokal untuk menggalakkan penerimaan vaksin dalam kalangan jemaah haji dan umrah.
Perkara itu dilaksanakan atas inisiatif untuk meningkatkan kesedaran keselamatan kepada mereka sebelum memulakan perjalanan ke tanah suci susulan tiga daripada 10 pesakit pneumonia dimasukan ke unit rawatan rapi (ICU).
Presiden Bumitra Malaysia, Harun KC Ahmmu berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan Hari Pneumonia Sedunia sekali gus menggalakan pengambilan vaksin tersebut sebelum menunaikan ibadah.
“Misi kami adalah melindungi jemaah melalui langkah-langkah pencegahan yang mungkin membantu mereka melalui perjalanan yang selamat dan bermanfaat.
“Selaras dengan Hari Pneumonia Sedunia, kami bekerjasama dengan Pfizer Malaysia kerana tiada masa lebih baik untuk meningkatkan kesedaran dan memperkasa jemaah dengan ilmu pengetahuan ini bagi kelangsungan ibadah,” katanya semasa majlis tandatangan MoU tersebut di sebuah hotel, di sini hari ini.
Majlis bersejarah itu disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengurus Pfizer Malaysia dan Brunei, Luksanawan Thangpaibool.
Menjelaskan perkara itu, Harun berkata, penyakit pneumokokal adalah antara faktor utama yang menyebabkan kemasukan para jemaah ke hospital.
“Ia adalah disebabkan oleh bakteria Streptococcus Pneumoniae dan mereka yang menghidap penyakit pneumokokal boleh jangkiti orang lain apabila mereka batuk atau bersin.
“Selain kemasukan ke hospital dan gangguan semasa menunaikan ibadah, jangkitan boleh tersebar kepada mereka yang ada sistem imun yang lemah seperti bayi dan warga emas,” katanya.
Vaksinasi itu disyorkan bagi mencegah penyakit pneumokokal terutama mereka yang merokok, berusia 65 tahun dan ke atas, atau mengalami masalah kesihatan seperti penyakit paru-paru obstruktif kronik, asma, penyakit jantung dan kencing manis. – UTUSAN