STIGMA masyarakat terhadap sukan berkuda di negara ini yang sering kali dilihat sebagai sukan untuk golongan elit merupakan satu tanggapan yang salah sama sekali dan perlu diubah.
Ia menyebabkan industri dan sukan berkuda di Malaysia masih belum mendapat tempat sebagaimana sukan atau bidang lain.
Malah, industri ini realitinya mampu pergi lebih jauh. Bukan sekadar melahirkan atlet bertaraf dunia tetapi mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan termasuk untuk sektor eksport negara sama ada membabitkan baka sukan lumba kuda serta kejohanan kuda lasak.
Perkara tersebut diakui Pengurus Benua Equestrian Stable (BEST), Zakaria Abdul Rahman yang telah menceburi bidang ini sejak lima tahun lalu.
Menceritakan kembali detik ketika mula menceburi bidang ini, Zakaria berkata, dia yang pernah bekerja dalam pelbagai bidang seperti insurans pada asalnya hanya menuruti kemahuan dua anaknya yang mula jatuh cinta dalam sukan kuda lasak.
“Pada awal-awal dulu, aktiviti berkuda ini kami hanya jadikan sebagai riadah sekeluarga sahaja. Lama kelamaan selepas itu, dua anak kami Muhammad Yusuf Luqman dan Nur Qarina Amani perlahan-lahan mula berminat untuk menyertai kejohanan kuda lasak pula.
“Bagi menyokong minat mereka, saya kemudiannya beli beberapa ekor kuda dan menyewa kandang di Pusat Ekuin Universiti Putra Malaysia (UPM). Sudah menjadi rezeki, UPM kemudian membuka tender untuk pengurusan dan saya berjaya memenangi tender tersebut.
“Bermula dari sinilah saya menceburi bidang yang agak baharu pada diri. Namun dalam masa sama, saya sedar betapa besarnya potensi yang ada dalam industri berkuda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pusat Ekuin UPM kini dikenali sebagai BEST menempatkan lebih 40 ekor kuda terdiri daripada baka Thoroughbred, Anglo Arab, Kuda Padi dan beberapa baka terpilih yang lain.
Pusat ekuestrian tersebut menyediakan kelas dari peringkat asas sehingga profesional untuk keempat-empat disiplin iaitu dressage; show jumping, endurance dan eventing selain perkhidmatan terapi berkuda untuk kanak-kanak istimewa.
Tambah Zakaria, selain menghasilkan atlet, industri ini juga mampu menyediakan pasaran kerja kepada golongan muda sama ada dalam mahupun luar negara di samping eksport untuk baka-baka kuda berkualiti tinggi terutama kuda baka Arab.
Dalam pada itu, anak kelahiran Muar ini bersama isterinya Suzana Musakal yang bersama menguruskan BEST tidak terlepas daripada sebarang cabaran terutama ketika penularan wabak Covid-19.
Sehinggakan ada satu ketika, Zakaria berkata, dia dan isterinya terpaksa mengambil pendekatan lain dengan mengubah cara serta kaedah pengurusan sebagai langkah penjimatan.
“Bayangkan pada masa itu, pusat ini ditutup dan dalam masa yang sama kuda-kuda ini sudah semestinya perlu diberi makan serta dijaga rapi. Justeru, saya berbincang dengan isteri dan kakitangan lain pada waktu itu apakah langkah yang boleh dilaksanakan agar kos pengurusan dan penjagaan dapat dikurangkan.
“Lalu kami bersepakat supaya semua kuda-kuda ini ditukar diet yang berlainan berbanding sebelum ini, perlu diletakkan di luar dan hanya masuk ke dalam kandang pada waktu malam sahaja untuk menjimatkan penggunaan habuk kayu,” jelasnya.
Bagi pengurusan kakitangan pula, beliau sendiri terpaksa mengurangkan gaji pekerjanya selepas tiada jalan pilihan lain.
Kini, selepas dibenarkan beroperasi semula, BEST mahu menetapkan sasaran sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun akan datang dengan menjadikan pusat ekuestrian di bawah pengurusannya sebagai pelopor melahirkan lebih ramai atlet dan menghasilkan peluang pekerjaan bertauliah serta berkepakaran dalam bidang ini.
Bagaimanapun kata Zakaria, kerajaan perlu membantu dan memberi sokongan dengan sasaran yang ditetapkan oleh pusat tersebut.
“Sebagai contoh, jika kita mahukan tenaga kerja berkepakaran yang diiktiraf seperti jurulatih, pengurus kandang mahupun kerja-kerja berkaitan, perlu ada satu pihak yang mengiktiraf dan mengeluarkan sijil. Ia sekaligus mampu memberi jaminan kerja bukan sahaja dalam tetapi luar negara.
“Itu belum lagi menyentuh soal kemudahan ataupun teknologi termasuk tujuan pembakaan ataupun kajian lain yang berkaitan seperti penghasilan baja daripada najis kuda,” jelasnya.
Selepas lebih lima tahun mengharungi pahit getir dalam bidang itu, keringat dan pengorbanan Zakaria dan Suzana berbaloi apabila dua anak mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam kejohanan Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship) yang telah berlangsung di Ermelo, Belanda pada September lalu.
Ini sekaligus menjadi perangsang kepada pasangan suami isteri ini untuk memberi peluang kepada mereka yang berminat mengetengahkan bakat sedia ada.
Bagi yang berminat mahu mencuba sukan ini boleh menghubungi 011-5755 4202 untuk mendapatkan keterangan lanjut. – UTUSAN ONLINE