Koperasi perlu seiring era digitalisasi - Utusan Malaysia

Koperasi perlu seiring era digitalisasi

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Koperasi perlu berani mengambil peluang melakukan perubahan serta melonjakkan ekonomi digital di tengah-tengah situasi pandemik agar gerakan koperasi tidak ketinggalan dalam arus perdana ekonomi negara.

Justeru, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan membangunkan satu pelan digitalisasi yang komprehensif untuk gerakan koperasi pada tahun hadapan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, operasi dan pentadbiran koperasi perlu ditambah baik atau dimodenkan melalui teknologi canggih serta sistem digital.

“Pandemik Covid-19 menyedarkan kita betapa pentingnya ekosistem digital untuk mencegah kejatuhan perniagaan seterusnya ekonomi negara. Ini akan menjadi antara fokus utama kementerian dalam menyediakan program intervensi bagi memulihkan semula perniagaan koperasi mengikut norma baharu.

“Selain itu, pemimpin koperasi perlu menilai semula corak kepimpinan dan mempunyai sisi kreatif, inovatif dan berani mengambil risiko dalam menuju era endemik ini.

“Jika ciri-ciri ini digabungkan dengan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman serta bantuan tenaga muda yang lebih kreatif, kritis dan inovatif serta bertenaga, saya yakin gerakan koperasi mampu memberi sumbangan yang besar dalam membantu Kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19,” katanya.

Seramai 650 peserta terdiri daripada para pemimpin, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan para usahawan dari seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam majlis yang dijalankan secara hibrid itu.

Sementara itu, Pengerusi IKMa, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan memaklumkan, pihaknya telah menyusun program di bawah Cooperative Digitalisation Empowerment Programme (CODE) dengan menyasarkan usaha untuk mendigitalkan aktiviti perniagaan koperasi secara menyeluruh bagi mendepani cabaran era globalisasi IR4.0.

Jelas beliau, keadaan Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu, IKMa telah mengambil tindakan proaktif mempelbagaikan mod pengajaran dan pembelajaran termasuk secara dalam talian bagi meluaskan akses kepada latihan dan pendidikan kepada gerakan koperasi dalam dan luar negara.

“Kita memfokuskan lima bidang iaitu melonjakkan pendapatan koperasi, membangunkan keusahawanan koperasi, memperkasa digitalisasi koperasi, membudayakan keusahawanan sosial dan rejuvenasi koperasi.

“IKMa juga telah menyusun merancang program latihan dan pendidikannya berdasarkan pembangunan modul program bersama pakar industri dalam bidang pengurusan dan keusahawanan koperasi untuk tahun hadapan,” ujarnya.

Sehingga 31 Oktober 2021, IKMa telah melaksanakan sebanyak 557 program secara bersemuka dan dalam talian iaitu pencapaian sebanyak 91 peratus dengan bilangan penyertaan seramai 23,200 peserta.

IKMa juga telah menjalankan Program MiRiCLe yang melibatkan 142 koperasi, COOP.BIZPreneur sebanyak 59 koperasi manakala khidmat nasihat sebanyak 39 koperasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya