Kemenangan Barisan Nasional manifestasi ‘Keluarga Malaysia’ - Utusan Malaysia

Kemenangan Barisan Nasional manifestasi ‘Keluarga Malaysia’

ISMAIL Sabri Yaakob diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun beramah mesra bersama seorang kanak-kanak yang melakukan aktiviti mewarna selepas melancarkan sambutan Bulan Keluarga Malaysia di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Konsep Keluarga Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbukti diterima setiap lapisan masyarakat, sehingga membawa kepada kemenangan MCA dan MIC dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Daripada tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, MCA berjaya merampas kembali dua kerusi tradisinya daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu Kelebang dan Machap Jaya.

MIC pula boleh dianggap komponen paling cemerlang dalam Barisan Nasional (BN) kerana berjaya mencapai peratusan kemenangan sebanyak 100 peratus selepas memenangi kembali DUN Gadek iaitu kerusi tunggal parti itu di negeri ini.

Senario itu sangat membanggakan, memandangkan kedua-dua komponen tersebut tidak mempunyai sebarang kerusi DUN mahupun Parlimen di Melaka.

Kejayaan itu mustahil dapat dilakar, seandainya orang Cina dan India tidak menyokong BN yang sebelum ini hanya memenangi 13 DUN semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Maka, layaklah dimetaforakan kemenangan besar dua pertiga majoriti di Melaka sebagai manifestasi Keluarga Malaysia.

Mengulas perkara itu, geostrategis, Azmi Hassan berpendapat, keterbukaan hati pimpinan UMNO yang sanggup memberi ruang kepada komponennya bertanding di kerusi majoriti Melayu secara tidak langsung telah membawa mesej jelas tersebut kepada pengundi.

Beliau berkata, DUN Gadek merupakan kerusi paling sesuai dikaitkan dengan semangat Keluarga Malaysia, memandangkan BN kekal meletakkan calon MIC, VP. Shanmugam, walaupun terdapat jaminan bahawa UMNO mampu merampasnya daripada PH sekiranya bertanding di situ.

“Bukan secara langsung tetapi secara tersirat apabila BN memberi tujuh kepada MCA dan satu kepada MIC. Gadek ini kalau nak dikaitkan dengan konsep Keluarga Malaysia itu adalah amat tepat sekali, kerana Gadek sebelum ini diminta oleh UMNO dan UMNO yakin boleh menang dengan pengundi Melayu majoriti yang ramai di situ.

“Jadi UMNO tetap memberi Gadek kepada MIC berserta tujuh kerusi kepada MCA, ini menunjukkan bahawa BN itu adalah keluarga yang besar, Keluarga Malaysia umpamanya. Jadi ini yang dikatakan sebagai secara tersirat bukan secara terlangsung.

“Dalam PRN Melaka, malah BN tidak pernah menggunakan ikon Perdana Menteri sebagai penarik kepada pengundi. Tetapi secara tidak langsung, sekali lagi secara tersirat pengundi berasa yakin terhadap BN yang Perdana Menterinya daripada UMNO yang menguar-uarkan konsep Keluarga Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Pada 20 November lalu, BN bukan sahaja kembali membentuk kerajaan negeri Melaka, malah berjaya mencatat kemenangan dua pertiga pada PRN tersebut.

Dengan kemenangan besar itu, BN menyamai pencapaian pada PRU-13 di mana gabungan tersebut menang 21 kerusi.

Kejayaan itu bukan sahaja membantu membentuk kerajaan yang stabil, tetapi juga berupaya meminda perlembagaan negeri termasuk memperkenalkan konsep ADUN dilantik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN