Huntsman tawar peluang pekerjaan, manfaatkan ekonomi - Utusan Malaysia

Huntsman tawar peluang pekerjaan, manfaatkan ekonomi

RAYMOND SIVA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Huntsman Corporation, pembuat dan pemasar bahan kimia dibezakan global, bakal mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan di Malaysia dan dijangka memberi manfaat ekonomi sekitar RM12 juta hingga RM15 juta setiap tahun.

Sasaran itu selepas syarikat mengembangkan kehadiran perkhidmatan perkongsian di Kuala Lumpur, sekali gus menjadikannya sebagai hab Perniagaan Perkhidmatan Global (GBS) untuk pasaran global dan rantau Asia Pasifik, dengan sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Organisasi GBS baharu berkenaan akan menyediakan sokongan bernilai tinggi kepada perniagaan Huntsman di seluruh dunia, untuk membolehkan mereka mengimbangi kos, perkhidmatan, nilai dan kepantasan yang lebih baik, dalam usaha untuk terus melakukan penambahbaikan dalam setiap aspek perniagaan.

Naib Presiden Kanan Pelaburan dan Jenama dan Ketua Pegawai Pemasaran MDEC, Raymond Siva berkata, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Strategi Pelaburan Masa Depan5 (DIF5) menyasarkan untuk menarik pelaburan tambahan sebanyak RM50 bilion dalam ekonomi digital dan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Kami merancang untuk bekerjasama dengan industri untuk memastikan sasaran ini dicapai. Kerjasama dengan Huntsman ini telah membantu kami untuk berada di landasan yang betul dalam menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

“Pembangunan hab GBS baharu Huntsman akan dijalankan secara berfasa dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Hab dan Pengarah Perkhidmatan Perkongsian Perakaunan Asia Pasifik (APAC), Sunil Rajamony memberitahu, pihaknya melabur untuk pasukan sedia ada di Kuala Lumpur, mengembangkan pasukan perkhidmatan dan fokus kepada sokongan bernilai tinggi untuk fungsi tambahan seperti Sumber Manusia, Kredit dan Pembelian.

“Huntsman menjangkakan pasukan GBS akan meningkat sekurang-kurangnya 100 orang beberapa tahun akan datang dan akan meningkatkan keupayaan spesifik seperti automasi pintar, analisis data, pengimejan, Lean Six Sigma dan penambahbaikan berterusan. Ketika ini, Huntsman memiliki 160 orang pekerja di Kuala Lumpur.

“Kami menjangkakan majoriti pekerja baharu kami akan diambil di Malaysia. Kami akan terus melihat bakat berkualiti tinggi tempatan dalam Perakaunan, IT dan bidang lain menerusi operasi kami,” ujarnya.

Selain itu, Sunil menekankan, latihan pekerjaan akan menjadi faktor utama dalam proses transisi.

“Huntsman menawarkan pengalaman yang mencabar bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan pekerja termasuk latihan personaliti, pembangunan pelan serta hala tuju dan kamajuan kerjaya dengan teliti.

“Kami menawarkan peluang kerjaya yang telus dan mempromosikan mobiliti dalaman merentas bahagian, divisyen dan negara,” tambahnya.

Huntsman aktif dalam mengambil pekerja di hab GBS dan menggalakkan sesiapa yang berminat bekerja dalam pasukan yang berbilang budaya boleh layari huntsman.com/careers. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya