TPM kembang inovasi, perkasa bakat - Utusan Malaysia

TPM kembang inovasi, perkasa bakat

AREA 57, sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh Technology Park Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain menjadi peranti ‘kegilaan’ anak muda, permintaan terhadap teknologi dron terus mendapat sambutan hangat dan digunakan secara meluas meliputi pelbagai fungsi dalam pelbagai bidang serta menjadi penanda aras yang baik bagi kemajuan sesebuah negara.

Menyedari kepentingan dan keperluan industri tersebut pada masa ini dan akan datang, Technology Park Malaysia (TPM) sentiasa mengambil langkah ke hadapan dengan sentiasa melihat kepentingan yang mampu mendorong kepada perkembangan ekonomi negara melalui pembangunan Area 57, sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat.

Area 57 yang dilancarkan pada 16 September lalu oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba, menyediakan infrastruktur bersepadu di kawasan seluas lima ekar untuk memanfaatkan komuniti pengguna dan pengeluar dron.

Area 57 merupakan pusat sehenti pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS) di wilayah tengah Malaysia.

Selain itu, Area 57 adalah salah satu daripada projek tambahan di bawah penyeliaan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang mempunyai tiga lapangan ujian lain di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Mempaga di Pahang, Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar) dan dron penghantaran urban di Cyberjaya.

Sehingga kini, lebih 500 permohonan lengkap diterima dengan lebih 130 syarikat telah menerima dana, teknologi, komersialan dan sokongan peraturan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar, pusat sehenti perkembangan industri dron itu dilengkapi landasan dron sepanjang 100 meter (m), kawasan jaring dron sepanjang 300m persegi, tapak mock up pengujian dron, hangar, makmal, peralatan pembuatan, kemudahan latihan dan kawasan pengujian prototaip, pejabat operasi serta bengkel perkhidmatan dan penyelenggaraan untuk kegunaan pengendali dron.

Area 57 diperlukan bagi menyokong teknologi tanpa pemandu, khususnya UAS atau dron bagi membolehkan ia bergerak pantas dalam pelbagai sektor di dunia sekali gus akan memudah dan menyokong inovasi UAS negara dan pengeluar dalam industri ekonomi baharu ini di lokasi yang strategik.

Melalui projek bernilai RM50 juta yang kini diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), RM25 juta dikhaskan untuk pembinaan infrastruktur Area 57 dan tender mengenainya dikeluarkan pada bulan ini.

“Penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi, seperti sistem pesawat tanpa pemandu atau dron dapat mendorong pemulihan dan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Pusat kecemerlangan Area 57 ini dapat membantu Malaysia mencapai matlamatnya untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron di mana pasaran dron global diunjurkan mencapai RM173 billion (AS$41.3 billion) pada 2026.

“TPM akan berganding bahu dengan agensi-agensi lain untuk mempermudahkan perkembangan industri dron dari segi pensijilan, kelulusan frekuensi, kelulusan kamera, serta kelulusan keselamatan pengendalian dron di Area 57 yang melibatkan pihak lain.

“Ia termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), SIRIM Berhad, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia sementara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui TPM juga komited dan menyambut baik kerjasama akademia daripada pelbagai institut pengajian tinggi dan syarikat-syarikat dron tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

DR. Adham Baba merasmikan prapelancaran Pusat Kecemerlangan Area 57.

Tambah Dzuleira, Aerodyne Group iaitu syarikat dron tempatan yang telah mendapat sambutan global akan berperanan sebagai penasihat kepada Area 57.

Aerodyne merupakan salah satu penyedia penyelesaian perusahaan berasaskan dron dan pelopor dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai teknologi untuk operasi data, analisis dan pengoptimuman proses berskala besar.

Dengan gelaran sebagai penyedia penyelesaian berasaskan dron pertama di dunia oleh Drone Industry Insights (DII) pada 2021, Aerodyne berusaha mewujudkan bandar pintar melalui inovasi teknologi dron dalam pengawasan dan keselamatan, pembangunan infrastruktur, pertanian pintar dan sebagainya.

Melalui usaha ini, demonstrasi dron di Area 57 juga dapat memu­atkan penerbangan dron yang beroperasi secara di luar garisan penglihatan visual (BVLOS) untuk menangkap data secara jarak jauh dengan kelulusan CAAM.

“Sejak tahun lalu, TPM juga telah mengambil inisiatif untuk menembusi pasaran teknologi dron dan robotik melalui NTIS. Projek-projek rintis ini selaras dengan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10) dan NTIS yang berusaha mentransformasikan Malaysia menjadi negara berteknologi dan berpendapatan tinggi melalui langkah penyelesaian berasaskan inovasi.

“Dalam masa sama sebanyak 25 buah syarikat berjaya mengembangkan teknologi atau penyelesaian dron melalui NTIS dengan kesemuanya diberikan sokongan kawal selia, pembiayaan dan pengkomersialan,” ujarnya.

“TPM akan ditambahbaik menjadi hab inovasi antarabangsa di bawah RMK-12. Usaha ini akan menyasar dan memberi impak kepada 5,000 usahawan teknologi dan mengembangkan 15 harta intelek pada tahun depan melalui infrastruktur dan kemudahan, bimbingan, akses pasaran serta pertukaran pengetahuan,” katanya.

TPM juga akan menjadi tuan rumah bagi Taman Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia dengan pelbagai kemudahan akan diperkenalkan seperti hab pembangunan 5G, inkubasi pertanian bandar yang mampan, inkubasi bioteknologi, kenderaan tanpa pemandu serta robotik.

Semua kemudahan tersebut saling berkaitan, misalnya, pengujian, inkubasi dan pengembangan kenderaan tanpa pemandu seiring dengan perkembangan teknologi 5G.

“Penyelesaian secara komersial lebih menjadi pilihan memandangkan ia merangkumi gabungan teknologi. Justeru, sangat penting untuk kita menyediakan ekosistem yang mendorong integrasi dan bukannya mengembangkannya secara silo.

“Dengan kemudahan yang komprehensif dan ekosistem yang memungkinkan, kami yakin dapat menarik pelaburan yang lebih tinggi, terutama melalui model perkongsian awam-swasta,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bakal pemecut pengkomersialan teknologi melalui penyediaan platform lain bagi penumpuan inovasi secara berterusan bermula Januari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya