Kesusahan Khalid Yusof, Ghazali Deraman dapat perhatian
DUNGUN: Di sebalik usianya yang lanjut, Khalid Yusof, 64, dari Kampung Baru Kuala Abang di sini tetap mengerah kudratnya turun ke laut demi mencari rezeki untuk keluarga.
Katanya, rutin itu masih diteruskan hingga kini semata-mata untuk mencari pendapatan sendiri kerana tidak mahu membebankan tiga anaknya yang masing-masing sudah berkeluarga.
Bagaimanapun, menurut Khalid, pandemik Covid-19 menyebabkan kehidupan nelayan sepertinya berubah ketara apabila tidak dapat turun ke laut untuk tempoh yang lama disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sepanjang 2021, beberapa bulan sahaja saya dapat turun ke laut kerana PKP dari April hingga Mei manakala Julai pula, saya sekeluarga dikuarantin susulan anak dijangkiti Covid-19.
“Upah sebagai awak-awak tidak menentu, kadang-kadang kurang RM40 sehari. Walaupun sedikit sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan saya dan isteri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya baru-baru ini.
Kesempitan hidup Khalid mendapat perhatian Program Jelajah Ikhlas Bersama CSR (Zon Timur), anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB).
Khalid berkata, bantuan yang julung kali diterimanya itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai simpanan berikutan tidak dapat turun ke laut menjelang musim tengkujuh yang diramalkan bermula akhir bulan ini.
Seorang lagi penerima, Ghazali Deraman, 53, dari Kampung Gemuruh, Tepuh di Kuala Nerus, terpaksa ‘meminjam’ duit bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) milik ibunya bagi menampung belanja dia, anak dan ibu saudara yang tinggal bersama.
Ghazali berkata, pendapatannya sebagai tukang rumah hilang sekelip mata akibat PKP dan sepanjang tempoh itu, semua perbelanjaan keluarga ditanggung ibunya, Kiah Salleh, 83, menggunakan duit bantuan bulanan JKM sebanyak RM300.
Selain itu, katanya, kos untuk membeli ubat-ubatan pula menggunakan wang bantuan JKM ibu saudaranya, Zawiyah Deraman, 62.
“Kami juga terpaksa mendapatkan bekalan air dari anak sungai di kaki bukit berhampiran, setiap kali tidak mampu menjelaskan bil air. Sumbangan yang diterima ini cukup besar bagi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN