Seronok belajar di sekolah, jumpa guru, kawan-kawan - Utusan Malaysia

Seronok belajar di sekolah, jumpa guru, kawan-kawan

DR. RADZI jidin bertanyakan sesuatu kepada seorang murid Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun yang kembali ke sekolah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Suasana Sekolah kebangsaan (SK) Tengku Zainun, di sini, yang sunyi sejak Jun lalu kembali ceria dengan kehadiran murid dan guru yang sudah terlalu rindu untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di sekolah berkenaan, semalam.

Murid-murid tahun satu juga kelihatan begitu teratur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka serta membuat pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke sekolah.

VA YUVIE ANUSI

Menurut salah seorang murid berketurunan Orang Asli, Va Yuvie Anusi, 7, dia berasa begitu seronok dan teruja apabila terpilih menghadirkan diri pada hari pertama sesi persekolahan bersemuka dijalankan.

“Saya ada banyak cita-cita, mahu jadi pelukis, penyanyi dan lain-lain lagi. Jika di rumah, saya kurang dapat pendedahan ini, tetapi di sekolah ada guru dan rakan-rakan yang boleh membantu saya.

“Jika saya tidak faham apa yang diajarkan, saya boleh terus bertanyakan kepada guru dan juga rakan-rakan saya,” katanya ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ke Sekolah kebangsaan (SK) Tengku Zainun, di sini, semalam.

MUHAMAD NUR QUSYAIRI MUHAMMAD NUR FIRDAUS

Bagi seorang lagi murid, Muhamad Nur Qusyairi Muhammad Nur Firdaus, 7, turut rasa seronoknya kerana dapat berjumpa guru-guru yang sebelum ini hanya ditemuinya secara alam maya.

Menurutnya, sebelum ini dia merupakan murid prasekolah, sekolah berkenaan dan sudah biasa dengan persekitaran pembelajaran di sekolah itu.

“Saya lebih suka belajar di sekolah kerana dapat jumpa terus dengan guru. Malah, saya cukup rindu dengan guru-guru di sekolah kerana mereka begitu baik mengajar saya dan rakan-rakan.

“Untuk hadir ke sekolah pagi ini, saya bangun awal untuk bersiap-siap menyarung baju seragam sekolah yang sudah lama tidak dipakai,” katanya.

Kata Muhammad Nur Qusyairi lagi, dia juga akan memastikan memakai pelitup muka dengan baik semasa di sekolah dan sentiasa membasuh tangan dengan sabun yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

“Walaupun terpaksa hadir ke sekolah secara bergilir, itu sudah memadai kerana sekurang-kurangnya saya dapat belajar di sekolah dan terus bertanyakan kepada guru berbanding di rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya