PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas), menerusi jenama Petronas Marine telah menjalankan operasi pengisian gas asli cecair (LNG) pertama di Sabah melalui kapal pengisian LNG (LBV) khasnya, MV Avenir Advantage.
Pengisian LNG untuk HL Green, kapal berkuasa LNG 180,000 tan terbesar di dunia, dilakukan 12 batu nautika dari Pelabuhan Sandakan.
Operasi ini adalah usaha kolaborasi dalaman antara Petronas Marine, Petronas Energy & Gas Trading Sdn. Bhd. dan Petronas Dagangan Berhad, dan rakan luaran mereka Sabah Ports Sdn. Bhd.
Pelabuhan Sandakan berada di lokasi strategik jalur perdagangan maritim antarabangsa antara pusat pembuatan Australia dan Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China, menjadikannya lokasi yang ideal bagi Petronas untuk menyediakan pengisian LNG ke kapal perdagangan yang menggunakan laluan tersebut.
Mengulas mengenai peristiwa penting itu, Ketua Petronas Marin, Emry Mohd. Tamrin berkata, usaha terbaharu ini menandakan langkah utama untuk membangunkan Malaysia sebagai hab pengisian LNG selepas operasi di Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Sungai Udang, Melaka.
“Kejayaan ini juga memperkukuh lagi kehadiran Petronas Marine sebagai rakan penyelesaian laut sehenti yang menyediakan bahan bakar bersih dan perkhidmatan yang dipercayai untuk memenuhi permintaan tenaga para pelanggan secara berterusan.
“Penyelesaian bunker LNG ini membuktikan usaha Petronas mendorong penggunaan LNG yang lebih besar sebagai sumber tenaga yang lebih kompetitif dalam industri marin, serta menyokong usaha bersama Organisasi Maritim Antarabangsa dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada aktiviti penghantaran,” katanya dalam kenyataan, semalam.
MV Avenir Advantage adalah LBV khusus pertama yang menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di Asia Tenggara.
Dengan kapasiti 7,500 meter padu, ia memainkan peranan penting untuk mempromosikan LNG sebagai bahan bakar laut yang lebih bersih di rantau ini. – UTUSAN ONLINE