BANGI: Ibu bapa dinasihatkan memantau tahap kesihatan anak-anak setiap kali sebelum menghantar mereka ke sekolah bagi menghadiri sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Datuk A. Halim Paiman berkata, ibu bapa perlu memaklumkan pihak sekolah atau guru kelas melalui surat tidak hadir ke sekolah sekiranya anak mereka didapati bergejala demam dan batuk.
Katanya, adalah penting bagi ibu bapa terutama yang mempunyai anak di peringkat prasekolah memainkan peranan dalam memastikan operasi institusi pendidikan berjalan lancar ketika kadar vaksinasi di seluruh negara sudah mencapai lebih 90 peratus bagi populasi dewasa.
“Saya melihat anak-anak lebih bersemangat ke sekolah setelah sekian lama tidak dapat pergi belajar seperti dahulu kerana kita maklum sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) agak terbatas, kerana tidak semua mempunyai akses terhadap penggunaan peranti.
“Jadi, saya yakin prestasi pembelajaran anak-anak akan meningkat semula kerana sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk mereka menimba ilmu pengetahuan, cuma, kita memerlukan kerjasama ibu bapa untuk memantau kesihatan anak-anak supaya hasrat ini tercapai,” katanya selepas program lawatan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, di sini semalam.
Dalam lawatan itu, Mohamad berkata, sebanyak 86.9 peratus murid sekolah berumur 12 hingga 17 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, mengulas tahap persediaan mental murid-murid sekolah, kata A. Halim, mereka sememangnya sudah ke arah itu sejak pengoperasian institusi pendidikan ditetapkan di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain sudah terlalu lama menjalani PdPR sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Beliau menjangkakan, prestasi pembelajaran murid sekolah yang sebelum ini terjejas teruk akibat pelbagai kekangan PdPR akan meningkat semula sehingga 98 peratus dengan pembukaan semula sekolah sejak semalam.
“Murid sekolah hanya menghitung hari bila mereka akan kembali ke sekolah sejak dari fasa satu hinggalah ke fasa empat PPN. Mereka mahukan suasana dan semangat seperti dahulu untuk belajar bersama-sama guru dan rakan-rakan secara bersemuka,” katanya.- UTUSAN