Malaysia fokus pelaburan teknologi tinggi, ESG - Utusan Malaysia

Malaysia fokus pelaburan teknologi tinggi, ESG

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan terus menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi yang berorientasikan teknologi maju dalam bidang pertumbuhan baharu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaburan yang disasarkan itu juga haruslah tertumpu kepada nilai kemampanan jangka panjang yang selari dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Kata beliau, seperti yang diterapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), keutamaan tertentu diberikan kepada elemen ESG untuk lesen baharu operasi perniagaan memandangkan permintaan yang meningkat dari pihak pengguna dan pelabur.

“ESG menetapkan bagaimana perniagaan boleh menjadi pemangkin untuk menangani perubahan iklim, serta cabaran dan peluang yang dibawa perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Invest Malaysia 2021 yang diadakan secara maya semalam.

Menurut Mohamed Azmin, Malaysia juga akan terus memperkukuh asas ekonominya melalui pelaksanaan polisi perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus dan mesra perniagaan.

Kata beliau, ia termasuk dengan usaha berterusan untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Kerjasama Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Perjanjian ini menggerakkan kemajuan beberapa objektif utama dalam Aspirasi Pelaburan Kebangsaan (NIA). Contohnya, Agenda Transformasi Digital ASEAN membolehkan komitmen Malaysia untuk menerapkan elemen ekonomi digital komprehensif dalam penyusunan perdagangan antarabangsa yang akan meningkatkan kestabilan, mengurangkan risiko dan menurunkan kos pematuhan.

“Tambahan lagi, langkah integratif ini akan membantu ke arah peningkatan ketahanan rantaian bekalan yang penting untuk Malaysia, yang ekonominya bergantung secara substantif kepada kerancakan perdagangan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, menurut Mohamed Azmin,jumlah keseluruhan perdagangan pada Ogos lalu meningkat dengan eksport berkembang 18.4 peratus untuk mencapai jumlah RM95.6 bilion dan jumlah perdagangan meningkat 15.7 peratus kepada RM169.8 bilion.

Sejak Februari lalu juga, kata beliau, jumlah perdagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit untuk tujuh bulan berturut-turut.

“Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan eksport pada 2021 pada 8.2 peratus, dipacu terutamanya oleh permintaan luaran yang meningkat daripada rakan dagang utama Malaysia seperti ASEAN, China dan Amerika Syarikat (AS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya